ISSUE Magazine

Nasihat untuk tidak berfikiran cetek (ini bukan cerita cinta) by Afiq Rahmat

Aku selalunya berpendapat bahawa cetek dalam pengalaman itu sesuatu yang perlu pada mulanya.

Ini kerana sebelum kita dapat mengalami sesuatu pengalaman, kita tentu perlu mulakan dengan langkah pertama, diikuti yang kedua, ketiga dan seterusnya. Tanpa disedari, kita telah pun dibawa arus ke tengah  keheningan ombak lautan pengalaman yang amat dalam.

Yang perlu kita akui di sini ialah peredaran waktu, dan pembangunan diri kita. Dari bersifat dangkal dan luaran kita bermula, beransur-ansur menuju kepada yang dalam dan menyeluruh.

Tetapi apakah sama peredaran cetek pengalaman yang kian mendalam, berbanding dengan peredaran cetek dalam pemikiran?

Mungkin ya, mungkin tidak.

Yang jelas bagiku, cetek dalam pemikiran itu adalah perbuatan yang menganiayai segala yang ada di dunia ini, termasuk jasad yang diberi (mungkin juga Penciptanya, sekiranya kita tidak berhati-hati). Aku selalu cuba memaafkan diriku yang masih cetek dalam memikirkan sesuatu hak (mahupun batil) dari semasa ke semasa, kerana dalam hatiku, aku berdoa agar yang cetek ini hanyalah mukadimah yang mendahului lembaran fahaman.

Pandang lebih dari kulit

Di permukaan setiap idea, terdapat salutan nipis yang cantik warnanya hitam atau putih dan senang mata dan minda menerima dengan sekali pandang. Tapi kita harus sedar bahawa hanya dengan menembusi salutan ‘idea’ tersebut, dapat kita diperkenalkan dengan segala sifat sebenar jelaga kelabu pekat, cair, dan apa saja campuran warna yang terletak diantaranya. Malangnya, masa tidak sentiasa di samping kita. Dalam arus dunia yang deras, kita selalu hanya mampu menelaah permukaan salutan ‘idea’ cetek yang hitam atau putih tersebut, sekaligus meninggalkan kelabu jelaga yang merupakan keseluruhan hakikat yang sebenarnya.

Aldous Huxley pernah menasihati para penulis, yang dilihat sebagai saudagar idea di lapangan tulisan, supaya berhati-hati dalam mempromosikan idea masing-masing agar tidak menyelimut segala jelaga kelabu realiti yang indah nuraninya. Atas dasar ingin mensensasikan sesuatu, kerja peringkasan yang membatasi pemalsuan (simplification to the point of falsification) sering berlaku. Maka, dengan mengingati kata-kata hikmat penulis tersohor ini, inginku tingkatkan usaha untuk berdagang dengan seberapa banyak idea-ideaku melalui tulisan ini dengan sehabis baik.

Aku akan gunakan alam percintaan sebagai alat untuk aku sampaikan pandanganku akan betapa pentingnya meneruskan penjelajahan kita dari pemikiran yang cetek, terus kepada yang terdalam. Jika rumusan penulisanku tepat dan lazim, maka subjek penulisanku ini boleh kita gantikan dengan apa saja tema yang ada dalam hidup kita, dan seinginnya, dan struktur rencana ini masih akan berdiri kukuh apabila maksud wujudnya kita, seperti yang telah ditulis, jelas.

Dalam cinta

Embed from Getty Images

Aku teringatkan Meor.

Sudah sekian lama dia memillih kehidupan sebagai seorang pemuzik jalanan, merayau-rayau bertemankan gitar dan melodi-kata, mencatat pengalaman-pengalaman yang dilaluinya, untuk dikongsi kepada dunia.

Dia pernah mengisahkan cinta itu sebagai ‘sebuah pertemuan dua hati yang cuba menyatu menjadi satu.

‘Cinta juga bakal (membawa kita) ke jurang ekstasi yang paling dalam dan merbahaya kalau dilayan akan permainannya,’ katanya lagi.

Pernah dahulu aku bertanya kepada rakanku dari Jakarta tentang erti perkataan ‘gejolak’ dalam salah satu lirik lagu kumpulan Dewa19. Tanpa berkata apa-apa (mungkin kerana terbatas oleh bahasa kami yang sedikit berbeza, walaupun serumpun) dia meletakkan tangannya di dada dan mengulangi gerakan seakan dentuman jantung yang kencang. Dari situ, perkataan ‘gejolak’ mengikut tafsiranku dari perbuatan rakanku adalah sesuatu yang mungkin cetek dari segi penyampaian asalnya, namun menifestasi ertinya yang begitu kencang menurut bahasa isyaratnya dan ketulusan gerak-geri badannya melampui definisi luaran tekstual. Ini mendorong aku untuk terus menyelidik, akan erti sebenar maksud gejolak yang sentiasa dihubungkait rapat dengan cinta remaja.

Gejolak itu menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, adalah nyalaan api yang besar (berkobar-kobar) tapi ini definisi harfiah! Definisinya terlalu dangkal dan mekanikal. Pengertian seperti ini tak mungkin dapat merangkumi maksud disebalik irama pergerakkan rakanku. Pencarian harus diteruskan.

Mungkin gejolak ini sama dengan yang dikatakan ‘mandi tak basah, makan tak kenyang, dan tidur tak lena’, yang dilamun setiap Majnun ketika merindui Layla-nya. Malah nama Majnun itu sendiri (nama sebenar: Qays) bererti seperti seorang yang kesurupan dengan cinta. Apakah mungkin perasaan gejolak itu hanyalah adalah gejala emosi yang tiada rasionalnya? Jika ya, maka apa faedah usaha kita cuba memahami sesuatu yang Majnun?

Meor pun bersambung dalam rencananya bahawa ‘cinta bermula dengan pandangan mata terus ke hati, fokus ke otak. Di sini ada bab nafsu. Setelah mula kenal untuk sebuah prolog itu, maka berjalanlah berpegang tangan. Apabila dua tangan mula berpegangan, secara automatis otak akan menaikkan syahwat. Hanya sifat malu manusia yang menghalangya – malu-malu kucing.

Nafsu itu juga datangnya dari dalam diri kita. Tapi apakah sama nafsu yang membuatkan kita inginkan cinta dan gejolak yang dikias oleh Dewa19? Sekiranya jawapannya ya, maka di sini kita telah sampai suatu persimpangan jalan yang boleh membawa kita ke dua destinasi yang berbeza. Menurut Meor, ‘Itulah sebabnya orang tua-tua ada berkata. kalau sudah tidak dapat menahannya, kahwin menjadi solusi. Tidak menjadi sumbang di mata masyarakat Melayu.

Sekiranya yang ditujukan oleh Meor itu jalan yang pertama, maka jalan kedua tak lain hanyalah untuk kita meraikan ‘nafsu/gejolak’ kita dengan sepenuhnya, merakus segala badai di jiwa, seperti suatu persembahan ‘diri’ untuk dilihat oleh semua. Malu itu hanya menjadi satu ilusi yang menghadkan potensi untuk kita betul-betul menikmati dunia. Tetapi apakah benar yang dibuat oleh kita (yang memilih jalan kedua ini) adalah sesuatu pencarian nikmat?

Demi hedonisme suci

Cuba kita meneliti jemaah yang mengikuti pesta apa pun; dalam pesta yang sepatutnya menjadi pusat dimana janji-janji nikmat diberi – biarlah ianya berbentuk destinasi pelancongan, persembahan muzik atau tarian, mahupun ceramah ugama sekalipun – jemaah kini malangnya seperti robot berkerja keras memastikan adanya pengiktirafan dari rakan-rakan tentang kesungguhan kehadiran dan penyertaannya dalam ‘pesta’ tersebut daripada langsung menikmati sajian nikmat itu sendiri.

Dalam erti kata lain, keikhlasan hedonisme tulen yang menjadi kebanggaan mereka yang memilih jalan kedua ini pun sudah kian tiada dalam sosio-budaya masyarakat kita! Ini bagiku boleh dilihat melalui usaha-usaha gigih yang amat serius dibuatnya untuk memastikan bahawa mata masyarakat mengakui status kebahagiaan, daripada terus mengenali dan menikmati kebahagiaan itu sendiri. Contoh yang lazim boleh dilihat seperti berikut; di manakah faedah berbahagia dengan badan yang sasa (atau berilmu yang berbondong-bondong sijilnya) di masa kini, sekiranya tiada mata untuk memandang dan memuja pencapaiannya?

Tetapi sekiranya jalan yang pertama tadi diambil hanya semata-mata untuk mengelak dari menjadi sumbang di mata masyarakat masing-masing, ini juga bagiku amat berat kemunafikannya. Ingatlah inna a’malu binniyat.

Oleh itu, berbalik kepada keinginan kita untuk memenifestasikan cinta yang ada di dada; apakah mana-mana jalan yang diambil ini akan dapat mencerminkan dengan sebenar-benarnya ‘sucinya’ perasaan yang tersimpan? Atau akankah persembahan fizikal di khalayak orang ramai yang didorong oleh kemahuan untuk memaparkan ‘kebahagiaan’ sama seperti yang dilihat di panggung wayang, sekaligus akan menjadi sesuatu yang lekeh, janggal, dan barangkali juga sesuatu yang memalukan?  Maka apakah perlu kita mempersembahkan cinta ke khayalak ramai untuk lebih memahami maksud gejolak?

Aku selalu yakin bahawa yang murni hanya boleh kekal sekiranya disimpan dalam hati. Bila ia dizahirkan, ianya akan terus dicemari oleh jasad kita yang terikat dengan alam yang serba berkesederhanaan ini. Malah, percayalah bahawa zat rencana ini pun telah tercemar dari sifat sebenarnya dari saat ia mengalir keluar dari fikiranku, langsung disusun oleh aksara bahasa yang terhad dimensinya.

Dan mungkin kerana wujudnya perlapisan yang ketara diantara dimensi minda dan fizikal, Meor menyedarkan kita dengan bahawasanya ‘Cinta juga perlunya keseimbangan, yakni ada tindakbalas. Kalau perasan atau syok sendiri, ianya tidak akan berlaku. Bertambah rugi. Sekiranya dilayan juga, ianya akan menjadi dendam, emosi yang berkecamuk yang bakal menjadi mimpi ngeri untuk kita yang gagal dalam permainannya.

Tetapi fahaman seperti ini masih tidak dapat membendung masalah ingin saling mengenali dan mengenalkan cinta yang dilamun hati kita! Soalnya, sekiranya kita mengerti bahawa cinta itu tak lain hanyalah pergelutan emosi, dan usaha yang tidak terkawal tak mungkin dapat mewajarkan perasaan cinta itu sendiri, mengapa kita masih punya rasa untuk dicinta dan mencintai?

Meor menjawab ‘Itulah fitrah manusia itu sendiri – konsep kejadian sejak dari awal kejadian hidup bermula Adam dan Hawa. Perasaan kita bukan sesuatu yang statik. Ianya berubah-ubah mengikut musim.

Tiada kaedah empirik dalam hidup

Embed from Getty Images

Justeru, kembara diri mengenali perasaan cinta dengan menjadi jurumudi kenderaan gejolak atau nafsu itu sendiri adalah pengajaran yang ingin aku sampaikan. Tanpa mengambil langkah seterusnya (biarlah ianya menuju ke simpang jalan yang pertama mahupun yang kedua), kita tentu tidak dapat menilai dengan sebenar-benar nilai akan arti apa yang dianggap sebagai ‘nafsu/gejolak’ dalam diri kita. Ianya tidak sama sekali boleh menggambarkan dengan sempurna kenyataan perasaan sebenar masing-masing yang pelbagai ragam. Malangnya, inilah hakikat dunia kita. Yang dirasai perlukan usaha untuk difahami. Se-eloknya, setelah difahami, perlu kita jadikan pedoman untuk diri dan yang disayangi.

Dan sekiranya ada yang ingin menyoal jalan mana yang harus kita ambil? Einmal ist keinmal-lah jawapannya. Malangnya, hidup (di dunia ini) hanya sekali. Apa yang telah dipilih tidak dapat dibanding (atau diulangi semula) dengan yang satu lagi. Ini benar untuk diri kita sendiri. Maka nasihat terakhir yang diberi Meor (yang akan aku ambil) dari tulisannya yang bertemakan cinta: ‘Maka agama menjadi tunjang untuk kita jalani berpandukan al-Quran sebagai petunjuk jalanan. Agama itu penting di dalam hidup ini bagi membezakan sifat antara manusia dan haiwan. Adakalanya kita seperti haiwan terutamanya kalau kita tidak mampu mengawal makna cinta itu.

Dan stuktur pemikiran seperti ini yang mungkin perlu di-advokasikan menjadi landasan utama kita sewaktu ingin menerobos fahaman cetek kita, untuk lebih mengenali makna cinta (baca: falsafah, tarikat, syiah, ilmu nujum, muzik, feminisme, batman, fesyen, politik, sosialisme, dan apa jua tema yang boleh/akan dialami di-alam-ini).

 ***

Tulisan ini terhasil dari renungan penulis terhadap karya Meor Yusuf Aziddin berjudul ‘Klimaks Cinta itu ‘Make Love’’ yang terdapat dalam buku beliau ‘Sembang Tepi Jalan’.


Afiq Rahmat seorang anak jati Kuala Lumpur; kini seorang calon doktor falsafah di Monash University Melbourne dalam jurusan kejuruteraan mekanikal. Bidang pengkhususan yang diselidiknya merangkumi kesan teknologi salutan dalam mempengaruhi sifat kelesuan logam. Koleksi tulisan akademik beliau (English dan Bahasa Melayu) yang telah diterbitkan boleh didapati di sini

* Featured image by Abby Tai

Advertisements
This entry was written by issuemagonline and published on 13/04/2014 at 05:00. It’s filed under Essays, ISSUE18, Writings and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink. Follow any comments here with the RSS feed for this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: