ISSUE Magazine

Gajah by Afiq Rahmat

Tahun Gajah (570 Masehi) merupakan tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. (Sejahteralah ke atas baginda). Tahun ini diabadikan oleh kitab suci al-Quran bukan kerana peristiwa kelahiran baginda, sebaliknya kerana peristiwa kedatangan tentera bergajah Abrahah dari negeri Yaman yang ingin menyerang kota Mekah dan menghancurkan Ka’bah. Abrahah dan bala tentera beliau akhirnya gagal, tetapi peristiwa tersebut kekal disebut sehingga hari ini. Maka apakah pedoman yang dapat kita petik daripada peristiwa ini?

Lakaran peristiwa serangan tentera bergajah Abraha dari kitab Haiyat al-Haiyawan, karangan Al-Damiri. Gambar ihsan Special Collections University of St Andrews.

Lakaran peristiwa serangan tentera bergajah Abraha dari kitab Haiyat al-Haiyawan, karangan Al-Damiri. Gambar ihsan Special Collections University of St Andrews.

Kita mulakan dahulu rencana ini dengan pemerhatian seharian kita tentang ketidakadilan dunia. Tentunya ada kepentingan di sebalik persoalan erti hubungan ‘penindas’ dan ‘yang ditindas’ yang boleh kita fahami dengan lebih mendalam.

Malangnya, jaminan pembelaan nasib golongan tertindas akan sentiasa tertakluk di bawah adanya teduhan hukum yang adil, sedangkan golongan penindas akan sentiasa berkeras bahawa kepentingan mereka adalah maqasid (matlamat) sebenar segala hukum. Ini menimbulkan konflik di antara dua golongan ini, dan percaturan ini akan berterusan selagi mana hamba-hambaNya masih wujud di pentas kehidupan ini.

Penggambaran seperti ini mengingatkan penulis kepada sebuah konsep falsafah yang hampir sama yang diistilahkan sebagai ‘ulangan abadi’, bilamana setiap satu perkara difahamkan sebagai suatu ulangan hingga ke infiniti. Fahaman pelik yang sering membingungkan penggemar falsafah ini dikemukakan oleh Nietzsche, salah seorang pelopor faham nihilisme dan ahli falsafah terkemuka. Beliau menjelaskan fahaman ini sebagai beban yang terberat (das schwerste Gewicht)1 . Ini mungkin kerana saranan beliau bahawa dalam kesedaran yang mengekalkan keabadian berulangan, beban tanggungjawab yang tak terhingga akan (telah?) terletak pada setiap kelakuan (perilaku?) yang diambil dan akibat kelakuan itu juga akan berulang semula hingga ke abadi2.

Nietzsche, berfikir. Ihsan Life

Nietzsche, berfikir. Ihsan Life

Beban terberat ini tentunya tak mampu dipikul oleh kita yang tidak setaraf duli pencatur dunia ini. Langsung tidak. Kekerdilan ilmu manusia yang mungkin belum boleh merangkumi konsep beban terberat ini, mana mungkin dapat merasai keamatan sebenar beban tersebut.

Kebenaran yang dibawa oleh beban terberat ini memang sukar untuk dierti. Akan tetapi, cuba kita ingat kembali peristiwa silam yang berlaku hanya sekali dalam sejarah. Tentu saja peristiwa itu boleh dipertikaikan sebagai sesuatu yang kecil dan tiada nilainya berbanding hal-hal seharian kita. Sebagai contoh, tahap kebencian seorang pelajar tingkatan dua ketika membaca tentang penindasan Residen J.W.W. Birch yang ingin menjajah dan memaksa pembayaran cukai yang tinggi kepada rakyat Pasir Salak3 tak mungkin setaraf dengan kebenciannya terhadap gurunya yang ‘menindas’ dengan kerja sekolah yang banyak. Tetapi bagaimana pula sekiranya J.W.W. Birch kembali menindasi Pasir Salak dan berulang kembali hingga ke abadi? Tentunya pengulangan seperti ini akan menggandakan hasil musibah penindasan tersebut, hingga ianya menjadi sebuah musibah yang kekal menggelembung, seperti kebodohan yang tidak dapat diperbaiki lagi.

Namun bagi Sang Pencipta, hubungan yang seakan tarian terpaksa diantara watak ‘penindas’ dan ‘yang ditindas’ di mana pun adalah sama saja dan akan dihitung seadanya, sama ada cikgu sekolah yang tegas mahupun kolonialis yang zalim.

Ini dapat kita lihat dari tafsiran ayat pertama dan kedua dari Surah Al-Fiil (Gajah), yang bermaksud, “Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?”

Keterangan tentang peristiwa angkatan tentera gajah disebut menggunakan tatabahasa kala kini (present tense), walaupun Nabi Muhammad dikatakan belum lahir waktu peristiwa itu berlaku. Ulama’-ulama’ pakar bahasa mengatakan ini kerana gaya bahasa ‘Balaghah’ atau retorik telah digunakan sebagai tema sepanjang surah ini yang menandakan peristiwa ini sedang dan akan berterusan4. Di sini penulis dapat lihat hubung kait peristiwa yang berterusan dengan konsep ‘ulangan abadi’ yang dijelaskan tadi. Ayat kedua dari surah yang sama pula bersambung dengan kenyataan bahawa perancangan yang ingin dijalankannya akan sentiasa dijadikan dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka. Sekali lagi, gaya bahasa yang menandakan penerusan peristiwa digunakan oleh rabbil-Alamin (Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam).

Semampu fahaman cetek penulis, apa yang hendak disampaikan di sini ialah pemerhatian terhadap dua ayat tersebut dan juga konsep falsafah ‘ulangan abadi’ yang dikatakan menghasilkan ‘beban terberat’ ini; iaitu beban penindasan telah dan akan berterusan sepanjang zaman. Namun perancangan penindas tentera gajah dan ‘gajah-gajah’ masa hadapan juga akan sentiasa ditukarkan atau dijadikan dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka. Pada pandangan penulis, ini adalah sejenis rahmah (yang biasa diterjemahkan sebagai ‘pengasihani’ akan tetapi sebenarnya mencakupi maksud ‘kasih’ yang lebih luas yang tidak dapat dikupas di sini ), malah rahmah yang berterusan!  Dengan ini, izinkan penulis membuat kesimpulan bahawa apa yang sebelum ini dikatakan sebagai beban terberat disebabkan tema ulangannya yang difahami oleh jiwa dan akal makhluk terbatas, telahpun dinaiktarafkan kepada rahmah yang tidak berkesudahan sepanjang zaman, kerana yang menguasai ‘beban terberat’ itu tak lain hanyalah Sang Pengkuasa yang satu.

Wallahua’lam bissawab.


[1] Friedrich Nietzsche, The Gay Science (Section 341 – The greatest weight)

[2] Milan Kundera, The Unbearable Lightness of Being

[3] Mohd. Ismail Sarbini, Pahlawan Pasir Salak

[4] Nouman Ali Khan, Linguistic Miracle – Lecture on the Tafseer of Surah Feel (The Elephant)

Feature image by Jehan Aziz.

Advertisements
This entry was written by issuemagonline and published on 14/02/2014 at 02:30. It’s filed under Essays, ISSUE17, Writings and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink. Follow any comments here with the RSS feed for this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: