ISSUE Magazine

Sisa by Shas

Namaku Sisa. Sisa Nadir Bumi.

Ibu dan ayahku berasal dari Mount Weld, Australia. Mereka baru-baru ini terpaksa berhijrah ke Gebeng, Kuantan. Ada beberapa faktor yang menjadi sebab penghijrahan ibu dan ayahku, namun mereka tidak pernah memberitahu mengapa.

Kata orang, mereka berhijrah kerana kos sara hidup yang tinggi di Australia; kerajaan Australia sangat tegas dengan mak dan ayah (di Malaysia sangat baik dan peramah); manusia di Australia tak mahu mak dan ayah bekerja di sana (berbahaya katanya), dan pelbagai lagi sebabnya. Aku pun tak pasti mengapa sebenarnya.

Mak dan ayah melalui pelbagai proses sebelum aku dan abangku dihasilkan. Abangku produk primer, menjadi kegilaan dunia. Berebut-rebut manusia mahu mendapatkan abangku. Nilai abangku sangat tinggi. Abangku digunakan untuk membuat iPod, iPhone, kereta hybrid, magnet dan televisyen skrin rata antaranya. Kata orang, abang aku ini produk yang mesra alam dan menjimatkan tenaga.

Aku pula, hanyalah produk akhir, produk terbuang. Dipandangnya aku sebelah mata dek tiada nilai di mata masyarakat. Namun, tak pernah aku cemburu dengan abangku. Aku redha dan bersyukur dengan ketentuanNya. Kalau dah itu rezeki Tuhan tetapkan untuk abang aku, dan Dia jadikan aku sebegini, haruslah aku terima.

Walaupun aku redha dan bersyukur, tapi tetaplah aku terus diuji Tuhan. Aku berada dalam dilema. Entah ke mana harus ku pergi. Dalam pada semua manusia mengejar abangku, aku diabai dan dipinggirkan. Hinggalah datang suara-suara manusia yang prihatin akan nasibku. Sudi memperjuangkan nasibku selaku sisa. Cantik sungguh aturan Tuhan. Dia tahu aku tak dapat melalui ini bersendirian. Lalu dia aturkan teman buatku dalam hidup yang berbaki ini.

Pada mulanya, ada perancangan untuk memproses aku menjadi bahan buat pembinaan jalan dan bangunan. Entah kajian mana yang dah dijalankan. Entah mana contoh produk yang sudah dihasilkan dariku. Langsung aku tidak tahu. Semuanya hanya kiraan di atas kertas, tanpa ada sebarang contoh penghasilan penggunaan aku. Aku sendiri tak tahu. Adakah aku ini akan mengukuhkan struktur atau melemahkan? Adakah aku ini akan punya daya kendiri menahan terik mentari bersama tar di jalan atau nanti akan terurai bagai air, mengalir ke dalam longkang dan sungai? Atau apa-apa lagi kemungkinan yang aku tak tahu dan tak pasti. Sungguh. Aku sendiri tak tahu. Aku belum pernah lagi diuji di dunia nyata. Di dunia teori, aku sendiri pun tak mengerti bagaimanakah proses kira-kiranya.

Syukur, manusia yang prihatin terhadap nasibku yang dalam ketidakpastian memperjuangkan supaya aku dihantar balik ke tempat asalku. Walaupun ibu dan ayahku telah tiada, aku masih gembira untuk dapat kembali bertemu datuk, nenek serta sanak saudara di kampung halaman. Jauh di perantauan, bersendirian, membuatkan aku sangat menghargai nikmat kekeluargaan, dan aku sangat berharap untuk pulang. Namun pelangi anganku musnah.

Manusia yang berkuasa di kampungku melarang aku daripada pulang. Katanya aku ini hanya sisa yang tak berguna. Tiada nilai. Mungkin juga berbahaya.

Masyarakat di kampungku turut berkeras melarang aku daripada kembali. Mereka tidak mahu menjadi tong sampah.

Sedih.

Aku menangis berterusan selama seminggu apabila mendengar berita ini. Mujurlah datang seorang lelaki yang asalnya tak jauh dari rumah ibu dan ayah tinggal memberi aku sinar harapan baru.

Lelaki yang dikatakan paling berkuasa di Malaysia itu mengatakan aku ini bukanlah bahan terbuang yang tidak bernilai. Dia mahu membina sebuah rumah banglo, khas untuk kegunaan aku. Lihat, betapa sayangnya dia pada aku.

Banglo itu akan dilengkapi kemudahan yang terbaik, dan aku akan dikawal oleh sekuriti yang ramai, bagi memastikan tiada lagi insan dapat mengganggu aku. Aku wajar mendapat layanan yang baik, bukan?

Gembira sekali aku mendengarnya. Walau tak dapat pulang ke kampung halaman, tapi aku beryukur dengan berita ini. Sekurang-kurangnya aku rasa dihargai.

Tapi itulah. Kegembiraanku tidak lama. Manusia-manusia yang dahulu kononnya prihatin dengan aku membantah pembinaan banglo untuk aku. Kata mereka aku tak sewajarnya diberi tanah di bumi ini. Aku warga asing! Aku perlu dihantar pulang ke tempat asalku!

Tak tahukah mereka yang negeri asalku pun tak mahu menerima aku? Tak tahukah mereka? Haih. Menangis lagi aku. Seminggu berendam dalam air mata meratap nasib tak ubah bagai kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tidak mahu.

Lantaran bantahan dari manusia-manusia yang kononnya prihatin itu, aku sekali lagi dalam keadaan yang tak menentu. Syukur alhamdulillah, lelaki tadi masih tak berputus asa mempertahankan nasibku. Diperintahkan pula empat orang pekerjanya untuk berbincang dengan negara luar bagi membina banglo aku di sana. Entah negara mana diajak bicara. Mungkin Papua New Guinea. Timor Leste. Entah, aku pun tak tahu.

Yang aku tahu aku dijanjikan banglo di sana. Kembali aku dalam pengharapan. Hati yang dahulunya patah seribu kini kembali bercantum, segar bugar. Betapa tingginya pengharapanku. Seronok juga kiranya dapat berjalan ke luar negara.

Ah, bukan sekadar berjalan percuma, disediakan pula kemudahan yang terbaik untukku. Layanan tahap VVIP. Tapi, sekali lagi aku dipermainkan. Tatkala diriku sudah bugar dengan harapan, aku dikhabarkan aku tidak punya passport untuk keluar dari Malaysia. Bukan sekadar tak punya passport, nak memohon pun tidak boleh!

Sekarang aku pasrah. Entah apalah nasibku. Penatku mengharap. Semuanya berakhir dengan kekecewaan.

Hatiku kini bukan sekadar patah seribu, tapi sudah beribu-ribu, mungkin jutaan pecahnya, hingga tak mungkin lagi hatiku terawat. Aku sudah tak tahu siapakah kawan, siapakah lawan, apakah itu cinta, apakah itu pengharapan.

Segalanya pudar, kelam, dan sirna.

Mungkin lebih baik jika ibu dan ayah tidak berhijrah ke bumi Kuantan.

Mungkin lebih baik jika manusia tak terlalu tamak membeli abang aku.

Atau mungkin jauh lebih baik jika aku ini tak wujud pun di dunia ini.

Mungkin…

(Kemaskini tambahan oleh Muffin)

——

Image is ‘Espassing’ by splorp on Flickr

Advertisements
This entry was written by issuemagonline and published on 14/02/2013 at 15:30. It’s filed under Fiction, ISSUE9, Writings and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Follow any comments here with the RSS feed for this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: