ISSUE Magazine

Masyarakat Sampah by Limau Daun Merah

Betisnya penuh calar balar, di antara kuping-kuping hitam dan tompok-tompok merah yang tidak sempat sembuh sebelum dirobek semula. Kain bajunya lusuh dan kotor. Sudah berapa lama dia hanya mengenakan baju ini sahaja, tidak kira siang atau malam, sama ada dia merayau-rayau di pekan atau berkubang seharian di tengah sawah, sambil menyanyi seorang diri.

“La la la,
di manakah cinta
Kau mati di depan mata
Aku jadi gila.”

Nyanyiannya terhenti setelah terdengar ketawa sekumpulan kanak-kanak. Dia menoleh dan mula menyumpah seranah, berlari ke arah mereka. Lintang pukang budak-budak itu berlari, sambil berkekek,

“Lari! Lari! Enon Kerbau naik minyak!”

Ini kejadian yang sudah lazim diperhatikan di waktu petang begini di Kampung Renggis. Jika kita tunggu matahari terbenam sebentar lagi, kita akan dapat lihat lampu-lampu jalan mula menyala di batas-batas jalan, sepanjang laluan menerusi kampung tersebut.

Arus pembangunan, kata pemerintah, dan pembawa peluang rezeki. Kereta dan lori hari ini sering berulang-alik melalui Kampung Renggis tidak kira siang atau malam, dari kota ke lombong bijih, sentiasa diperhatikan sepahi Benggali berjambang tebal, beserban gelap .

Tidak ada siapa yang dapat menyangka pancaran-pancaran lampu-lampu jalan yang berdiri diam ini akan tunjuk jelas pecahan-pecahan yang ada di dalam masyarakat Kampung Renggis.

Kampung itu yang sejak dahulu kalu tidak sesiapa dapat mengingati sebarang perbalahan atau pergulatan berlaku di dalamnya, sebenarnya hanya menanti masa untuk dibelah. Kampung yang dahulunya di dalam samar cahaya pelita minyak dilihat satu, rupa-rupanya pelbagai.

+++

Tok Penghulu mengeluh panjang melihat keluar jendela. Sampai bila dia akan dilayan begini, fikirnya? Tiap-tiap pagi dia dikejutkan dengan bau busuk dan sampah sarap yang dilabuhkan di depan rumahnya. Segala jenis bangkai dan sisa yang sudah berkulat, dihurung lalat, basah atau kering, tidak sehari pun berlalu selama beberapa minggu ini tanpa tangga rumahnya menjadi tempat pembuangan sampah.

DO sendiri tawarkan padanya pengawal keselamatan untuk menghalang perlakuan itu, tetapi dia menolak. Dia tidak mahu orang kampung lebih benci padanya akibat menerima pengawal-pengawal asing. Sedangkan kemarahan orang kampung terhadapnya kerana membawa tiang-tiang asing ke dalam Kampung Renggis ini belum sudah surut.

Mereka tidak semua membangkang teknologi yang diperkenalkan itu, tetapi mereka tidak bersetuju dengan tindakan Tok Penghulu tidak melawan keputusan Tuan DO dengan lebih keras. Nah kini apa yang sudah berlaku? Kampung pecah belah angkara kelembikan Tok Penghulu.

Itulah logik yang digunapakai masyarakat permai Kampung Renggis.

Tok Penghulu mengenakan pagoda nipisnya dan keluar rumah untuk membersihkan benci yang ditabur di depan rumahnya.

“Tok, kenapa tidak laporkan saja pada mata-mata ini kerja siapa? Bukan tok tak tahu,” tanya Sidek. Dia dan rakan-rakannya tiap-tiap pagi datang untuk tolong bersihkan rumah Tok Penghulu, dua kumpulan lelaki yang bergilir datang mengotorkan dan membersihkan kawasan tersebut.

Mereka semua masih lagi menganggur. Sudah berapa lama sejak harga getah jatuh merudum, dan mereka susah mendapat pekerjaan pada waktu ini. Yang mana masih mampu ditanggung ibu bapa mereka, maka kekallah di kampung. Namun tidak kurang ramai yang telah menginjak kaki merantau ke bandar.

Buat Sidek perbalahan ini dia tidak nampak apa gunanya. Perselisihan kerana katanya lampu-lampu jalan itu meruntai kesopanan halaman kampung mereka. Itu juga dia tidak pasti benarnya atau tidak. Dia tidak nampak apa guna orang-orang tua kampung ini bergaduh tentang sesuatu yang tidak ada gunanya, sedangkan dia dan kawan-kawannya masih tidak ada peluang untuk melakukan apa-apa sebagai kerja.

Tapi pasti pandangannya ini akan diketepikan, kerana dia bukan ‘orang tua’. Biarlah aku bukan orang tua, fikirnya, kalau kerja orang tua ini mengaibkan orang lain tiap-tiap hari seperti ini.

Sidek mengangkat sebeban perut lembu yang sudah tengik berulat, dan memasukkannya ke dalam kereta sorong.

“Kau kena faham, Sidek,” kata Tok Penghulu, berehat sebentar dari terbongkok-bongkok mengutip cebis-cebis baki kayu api. Garis-garis di tapak tangannya berselang-seli dengan parut-parut kecil dari sembilu yang menghinggap.

“Kampung ini, tiada siapa yang dapat ingat ia diganggu. Dari orang-orang tua kita yang mula meneroka tanah ini bertahun-tahun yang lalu, tidak pernah kampung kita ini dilanda masalah yang dibawa orang luar.”

Tok Penghulu tahu anak-anak buah di kelilingnya semua sudah lali mendengar penjelasannya ini, tetapi dia masih rasa perlu mereka diingatkan. Dia tidak mahu perbalahan hari ini dilihat sebagai mulanya pecah-belah masyarakat Kampung Renggis.

“Tetapi sekali sekala ada salah faham, biasalah. Sedangkan lidah lagi tergigit. Ini semua inshaAllah akan dapat diselesaikan dengan baik bila sampai masanya. Sekarang ini orang masih lagi panas kepala.”

Sidek faham yang Tok Penghulu mahu pertelingkahan ini berakhir dengan pendamaian semula antara kelompok-kelompok di dalam kampung ini, dan dia pasti di kalangan rakan-rakannya yang lali mendengar alasan Tok Penghulu untuk puak pelampau, pasti tidak sedikit yang juga mahu semua ini hilang dan keadaan kembali seperti asal.

Tetapi apa yang ada pada asal itu?

Apa yang boleh dibanggakan, yang hendak dikembalikan dari suasana yang katanya aman-damai di kampung itu. Masa itu juga, anak-anak kampung ini hidup melarat miskin, terkapai-kapai mencari peluang bekerja. Masa itu juga, anak-anak muda kampung ini tidak didiamkan dan tidak diendah suara mereka. Malah masa itu juga, mereka lihat arus pembangunan keluar masuk kampung mereka, kenderaan-kenderaan besar yang membawa muatan-muatan dari lombong ke kota dan seterusnya entah ke mana, tetapi tidak ada apa yang dapat mereka banggakan dari menjadi pemerhati sebegitu.

Sebaliknya dia hanya kenal kekosongan sejak dia mampu berfikir. Masa yang umpama tak bersisi, tapi yang juga mengalir deras, dia, seperti kawan-kawannya, hanya hidup dibawa arus tanpa tahu ke mana mereka ditolak, dan ke arah mana mereka harus pergi.

Kalaulah aku kaya, fikir Sidek. Wang mampu mengisi kekosongan itu, dengan tuak, pentas-pentas joget dengan penari-penari yang berkulit putih mulus, dan segala nikmat yang lazat dan enak. Namun hari demi hari dia hanya disua dengan kisah-kisah nostalgia akan keindahan suatu masa yang dia tidak pernah kenal.

Semakin hari Sidek semakin bosan disuap angan-angan masa lalu yang indah, yang semakin zaman itu dia cuba kenang, semakin rupanya kelam.

Masyarakat mereka hanyalah masyarakat sampah, yang terbiar di tepi jalan, menanti masa dilupuskan.

+++

Di waktu-waktu senja begini, Tuan DO sibuk menjenguk burung-burungnya. Hari sudah mula gelap, semangat kerja pula sudah mula suram; inilah peluang untuk dia berehat-rehat sementara sebelum terpaksa pulang ke rumah dan menghadap orang rumahnya dan keluh kesah remehnya yang tiada kesudahan.

Tidak jauh dari pejabat DO, seorang lelaki turun dari lori yang ditumpangnya untuk sampai ke sini. Dia berhati-hati menarik beg barangnya yang besar, takut terhempas ke jalan.

Bajunya comot dan aneh, labuh dan nipis, kainnya tidak sekasar yang biasa diguna di sini. Belakang bajunya masih lembab dari duduk di dalam kehangatan lori tersebut selama berjam-jam lamanya. Tidak sedikit belakangnya sengal-sengal tetapi dia cukup gembira untuk akhirnya sampai ke pekan ini. Tidak lama lagi dia akan sampai ke Kampung Renggis.

“Abang, ada kereta lalu Kampung Renggis?” tanya Azhar, mencuba nasibnya dengan beberapa orang yang sedang berdiri menghisap kretek di tepi jalan.

“Cuba kau tanya di tempat makan di depan itu,” jawab seorang dari mereka.

“Banyak trip lagi ke petang-petang ni?”

“Eh, sekarang sibuk jalan tu. Dia dah cerah dah malam-malam pun.”

Menarik, fikir Azhar. Dia tidak pula diberitahu tentang perkembangan ini. Di dalam suratnya, bapa saudaranya hanya beritahu dia yang banyak masalah yang berlaku di kampung mereka ini angkara satu tiang lampu di jalan masuk kampung. Namun kini nampaknya sudah diterima pula.

Bingung kepala Azhar. Bukankah saudaranya Anwar mati kerana usaha pihak yang membantah pengenalan tiang-tiang lampu tersebut?

Semakin tidak sabar dirinya untuk sampai ke kampung halamannya, Kampung Renggis.

+++

“Oh, begitu ke ceritanya?”

“Ye. Tak ada siapa sangka boleh jadi sampai begini,” jawab Tok Penghulu.”Tiada siapa sangka orang Kampung Renggis ini boleh bergaduh sampai begini sekali.”

Azhar diam dan menggelengkan kepalanya. Tidak dia sangka, begitu banyak telah berubah di Kampung Renggis. Kematian saudaranya bagaikan memecahkan retak yang telah sekian lama menanti belah di dalam kampung ini. Perselisihan di antara puak-puak di kampung ini, tindakan DO memasang lebih banyak lampu yang membangkitkan kemarahan orang ramai, rumah Tok Penghulu yang dijadikan mangsa kemarahan, dan keengganan Sheikh Kassim untuk melarang pengikut-pengikutnya.

Tak sangka Kampung Renggis boleh berubah sebegini rupa.

Selama dia membesar di kampung ini, tidak pernah terlintas di mindanya yang kampung ini akan pernah, ataupun mampu, berubah seperti ini. Sekian lama dia merantau dan bekerja di pelabuhan-pelabuhan di pelbagai pelusuk dunia. Dia teringat malam-malam yang dilabuhkannya memadang bintang-bintang di langit Tanzania, di Goa, di Hong Kong, dan melalui terusan Suez.

Walau ke mana sekalipun kapal-kapal yang dinaikinya berlabuh, rupa langit masih sama, bujuk-bujuk yang menanti statik, sama seperti Kampung Renggis, tempat asalnya.

“Kau balik ini untuk tengok pakcik kau?” tanya Tok Penghulu.

“Ya tok, dia pun dah tua. Lagipun saya rasa sudah cukup lama saya tinggal di Mesir,” jawab Azhar.

“Kau tak suka tempat itu?”

“Mesir? Wallahi tak! Ia antara negeri terindah saya pernah berhenti. Cukup indah sehingga saya pasangkan sauh saya di situ.”

“Apa di sana orangnya kaya-kaya?” Tok Penghulu teringat gambar-gambar Kaherah yang pernah Tuan DO tunjukkan padanya, bangunan-bangunan tersenggam indah, jalan-jalannya lebar, itu yang dia mampu ingat.

“Tak adalah, tok. Orangnya ramai yang miskin juga. Tapi suasananya tok, berbeza sekali!” Hiruk pikuk souq dan hingar-bingar kedai-kedai kopi terbayang kembali di mindanya. Aroma roti yang baru keluar dari ketuhar batu yang telah berjasa bergenerasi lamanya yang mengisi setiap ruang laluan-laluan yang sesak dengan manusia, emosi, dan idea.

“Mereka juga ada diperintah British, tetapi sebelum itu mereka ada raja dan sejarah. Dan mereka sangat banggakan sejarah mereka,” kata Azhar, bulat matanya. “Kalau di waktu malam, kita punya kesempatan untuk bersama kuliah-kuliah yang mahu rakyat Mesir, Misriyyin, mula menjadi masyarakat yang merdeka semula!”

“Merdeka?”

Tok Penghulu keliru; frasa itu pernah dia dengar dari bibir-bibir pemuda-pemuda yang kadang-kadang tiba di pekan, tetapi dia tidak pernah benar-benar tahu apa yang dimaksudkan dengannya. Apakah ada makna merdeka buat mereka yang tidak pernah dihambakan?

“Ya, merdeka, tok. Untuk bebas menentukan nasib kita sendiri. Untuk ada kuasa menjaga kehormatan kita, dan tidak dijadikan sekadar budak suruhan kelompok-kelompok nakhbah — maksud saya, kelompok atasan yang merompak hasil negara dan biar rakyat terbanyak sengsara.”

Tok Penghulu merasa kurang senang mendengar kata-kata Azhar, dan apa yang dia maksudkan dengan ‘merdeka’. “Tidak membawa pergeserankah nanti? Maklumlah, orang kaya punya kemampuan, punya kebijaksanaan, tidakkah menentang mereka itu suatu kerja yang merugikan?”

“Tok,” Azhar memegang bahu orang tua itu, “nasib dunia ini berubah-ubah. Hanya kerana mereka yang berkuasa hari ini, tidak bererti mereka akan selama-lamanya di situ. Suatu hari nanti mereka akan jatuh jua, dan diganti dengan orang baru. Kejap…”

Dia membuka beg sandangnya dan membawa keluar sebuah kitab nipis.

“Tok tahu ni apa?” dia serahkan buku itu.

Tok Penghulu amati kitab itu — tulisannya seperti jawi, tetapi dia tidak faham apa yang dieja, kecuali tajuk buku tersebut, ‘RISALAH AL-QAMAR’.

“Ini sebuah terbitan yayasan yang dimulakan sekumpulan guru-guru sekolah. Mereka tidak punya pendidikan yang tinggi atau sumber, tetapi rasa prihatin mereka menyebabkan mereka mahu membuat kerja-kerja seperti ini.”

Tok Penghulu menyelak-nyelak halaman-halaman buku tersebut. “Apa yang ditulis?”

“Tentang pentingnya berusaha, dan membina keyakinan. Yang kita patut berani bertanding dengan dunia, dan tidak hanya rasa selesa dengan kemiskinan yang kita sudah terbiasa selama ini.”

“Ramai pengikut mereka?”

“Semakin hari semakin ramai, Tok. Malah baru-baru ini pemerintah memenjara beberapa pemimpin mereka kerana mereka sudah terlampau berpengaruh.”

Dahi Tok Penghulu berkerut semula.

Sebelum ini dia gagal menghalang lampu-lampu jalan menceroboh keamanan kampungnya, adakah kini dia pula menentang penyebaran sebuah buah fikiran pula?

Bersambung…


Image is ‘Cemetery Lamp‘ by rainshift on Flickr.

LD Merah

 

Limau Daun Merah bersyukur dia buah yang hanya perlukan tanah, air dan matahari.

Advertisements
This entry was written by LDM and published on 13/02/2013 at 10:30. It’s filed under Fiction, ISSUE9, Limau Daun Merah and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink. Follow any comments here with the RSS feed for this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: