ISSUE Magazine

Lampu Syaitan by Limau Daun Merah

Samar kelihatan di tengah gelap malam sebuah figura menyusup laju.

Langkahnya deras dan lurus, cepat-cepat menghampiri tiang lampu yang bersendiri mencahayakan kawasan itu.

Seorang gadis menanti di bawah cahaya kuning mentol, wajahnya resah sebalik kelumbung mengalas rambutnya.

“Lamakah sudah kita menunggu,” tiba-tiba muncul suara. Gadis itu menoleh terperanjat, sebelum bibirnya menguntum senyuman.

“Tidak, kanda. Kita pun baru sahaja sampai ke sini,” balas si gadis, sebelum memeluk mata airnya yang baru tiba sebentar tadi.

Mereka berpelukan sebentar, sebelum melepaskan tangan mereka takut diperhati orang walaupun sunyi di pagi-pagi begini.

“Dinda, kita ada belikan buah tangan,” si lelaki menyerahkan seutas rantai besi. Rasanya kasar, warnanya pudar walaupun di bawah cahaya malap itu. Tidak lebih sepuluh ringgit harganya pasti, tetapi si gadis serta-merta mengalungkannya.

“Mesti mahal harganya ini?” tanya si gadis.

“Ah tidak adalah, itu sekadar yang kita mampu,” terang si lelaki dengan segan silu. “Tetapi tak apalah, bila kita sudah berumahtangga nanti, kita akan bekerja keras supaya dapat belikan awak segala kemewahan.”

Tersipu-sipu si gadis menerima janji mata airnya, “Bukan harta yang kita lihat, kanda. Kita cukup gembira hanya untuk bersama dengan kanda sehingga ke akhir hayat,” katanya sambil merehatkan kepalanya ke atas riba mata airnya.

Si lelaki hanya tersenyum melihat si gadis di ribanya, dan mengusap rambutnya yang hitam menawan walau di bawah cahaya malap kuning mentol malam itu. Oh cukup suka hati si lelaki, dapat menawan hati seorang gadis sejelita ini. Hidungnya mancung, suaranya lunak, lembut perwatakannya bagaikan anak bangsawan.

Dia seperti tidak percaya yang tuhan begitu murah hati kurniakan dia, yang tiada apa-apa ini, seorang bidadari dari syurga.

“OI BERHENTI!”

Suara keras tiba-tiba berbunyi dan badan-badan berlari menuju ke pasangan tersebut. Si lelaki kaget, dan berdiri untuk melarikan diri.

“JANGAN LARI!”

Si lelaki merasakan dirinya dikepung dari sekelian sisi, kecuali di belakangnya ini, tebing yang menghadap ke sawah. Dia tidak tahu ke mana arah yang ditujunya, dan kakinya hanya berlari melompat ke belakang. Si gadis terpinga-pinga ditinggalkan di bawah tiang lampu.

“KANDA!”

Si lelaki terus berlari merentasi kegelapan, entah ke mana tujuannya. Sekumpulan lelaki masih mengejarnya dari belakang. Dia tidak tahu berapa ramai di belakangnya, dia tidak berani menoleh. Jerit-jerit mereka kepadanya masih terlalu jelas untuk benar dia berhenti berlari lebih jauh ke dalam kelarutan malam.

Sekumpulan lagi bersama si gadis di bawah tiang lampu, menahannya yang meronta-ronta dari menurut kawan lelakinya.

“Dia ada apa-apakan kau?” “Lepaskan aku, lepaskan aku.” ” Jangan risau, kami akan kerjakan dia kerana ini.” “Lepaskaaan! Jangan apa-apakan dia!”

Si lelaki masih lagi berlari, tetapi selut yang sampai ke betisnya memerlahankan. Setiap langkah semakin sukar, semakin berat, dan dia semakin letih. Pengekornya semakin rapat menghampiri, tetapi dia masih tidak tahu ke mana arah lariannya ini, luas bendang sawah ini bagai tiada hujungnya.

Dia tersadung. Kakinya tersepak batu, dan dia jatuh ke dalam bendang, seluruh badannya basah diliputi lumpur. Kumpulan yang mengejarnya menahan badannya ke bawah, dan memula memukulnya berkali-kali. Dia cuba menahan, tetapi badannya ditolak keseluruhannya ke dalam lumpur, lumpur yang perlahan-perlahan memasuki rongga-rongga kepalanya bila dia cuba menjerit meminta tolong. Badannya tidak dapat melawan lima pasang tangan yang tidak putus-putus memukulnya tanpa belas kasihan. Tangan-tangan yang percaya mereka membawa hukuman tuhan.

###

“Apa yang kau orang pukul sampai mati? Aku suruh tangkap bukan bedal!”

Tok penghulu berkerut-kerut dahinya, memikirkan bagaimana dia hendak menjelaskan perkara ini. Dia tidak sangka orang-orang kampung ini akan begitu keras melayan budak itu, Si Anwar anak Rodhi tukang atap. Baru kelmarin dulu budak itu datang betulkan atapnya, minta upah pula murah. Anwar itu bukannya samseng kampung, tetapi kuat bekerja dengan ayahnya, dan memang ada masa depan cerah untuk jadi orang penting dalam kampung.

Dia terbayang semula jenazah Anwar. Lumpur kering berkerak di seluruh tubuhnya sampai ke bawah kuku. Perut mula kembung akibat lemas, dan bengkak-bengkak seluruh badan akibat dibelasah. Cukup jauh bezanya dari badan tegap yang cergas membuat kerja untuknya tempoh hari.

“Kenapa kamu tak tangkap sahaja, dan bawa ke aku?”

“Kerana dia lari tok penghulu, kami sangka dia sudah apa-apakan si Ainon,” jawab Ahmad.

Ahmad tidak faham apa yang menjadi persoalan di sini. Bukankah orang-orang tua di kampung ini juga yang menyuruh mereka berjaga malam untuk mencegah maksiat?

Bukankah mereka yang tidak sudah-sudah merungut tentang rosaknya gadis-gadis di kampung ini sejak tiang-tiang lampu letrik itu mula diperkenalkan? Mengapa tok penghulu seolah-olah menyalahkan mereka kerana mencegah maksiat.

Ahmad sebenarnya terkejut juga bila mereka sedar yang ditangkap itu Anwar. Dia tidak bersama-sama memukulnya di dalam bendang, tetapi bila badannya yang sudah keras di bawa ke bawah lampu untuk diperiksa, dia juga berasa terkejut, tetapi dia kemudian sedar apa yang cuba dilakukan Anwar selama ini: patutlah dia beria-ria sangat bekerja untuk menyimpan duit, hendak membeli umpan bermukah rupanya.

Tok Penghulu masih lagi mengurut-urut dahinya. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan perkara ini kepada Rodhi, mahupun kepada DO. Sudahlah dia digasak oleh DO kerana tidak membenarkan pemasangan lebih banyak lampu jalan, sekarang berlaku kematian begini pula kerana kempen anti-lampu jalan Sheikh Kassim. Aduuh!

“Kau orang dah beritahu Rodhi belum?” arah Tok Penghulu. “Cepat, sebelum orang kampung mula bercakap.”

Ahmad dan mereka yang sama berkumpul saling berpandangan. Siapa yang akan menunaikan arahan Tok Penghulu ini?

Tok Penghulu mencabut songkok kusamnya dan menyapu kepalanya. Rambutnya putih dan nipis, jari-jarinya hanya melalui dengan ringan utas-utas halus di atas kepalanya. Dia terduduk, memikirkan apa yang hendak dijelaskan pada DO kelak, sebelum dia mendapat tahu…

TOK TOK TOK

Dua orang polis bengali berdiri di depan pintu rumahnya. Badan mereka tegap, tidak seperti pemuda-pemuda kampung ini, nyata perbezaan genetik itu dapat dilihat melalui perbezaan fizikal. Mereka berpakaian serba khaki, dari seluar pendek sehingga ke serban melilit kepala mereka.

Seorang lelaki kecil berjalan di antara mereka, dan berjalan masuk tanpa tunggu dipelawa. En. Idris, pembantu DO, yang seperti tuannya juga, tidak pernah tanpa kemeja yang tidak bergosok. Dia mengangkat tangannya kepada tok penghulu, dan berjalan masuk tanpa mencabut kasutnya.

“Selamat pagi Tok Penghulu.”

Tok Penghulu hanya diam melihat kelancangan En Idris.

“Tuan DO minta saya jemput Tok Penghulu untuk bincang hal yang berlaku pagi tadi.”

“Apa yang hendak dibincangkan?” tanya Tok Penghulu.

“Tuan DO hendak tahu siapakah yang bertanggungjawab melakukan huru-hara di kampung ini,” perkataan ‘kampung’ itu disebut keras, “dia mahu pelakunya segera di bawa ke muka keadilan.”

Tok Penghulu melihat kepada songkok di dalam gengamannya, sudah keras kain songkok ini, entah berapa lama tidak dibasuh. Dia tidak pasti apa yang dia boleh katakan dalam hal ini

“Kalau Tok Penghulu sudah bersedia, motokar ada tunggu di luar. Kita boleh pergi sekarang.”

###

Ahmad dan kumpulan pencegah maksiatnya berderap perlahan-lahan menuju ke rumah arwah. Dia masih tinggal bersama keluarganya, seperti mereka semua, walaupun usianya sudah hampir tiga puluh. Ahmad sendiri sedar betapa susahnya hidup sebagai anak dewasa sebumbung bersama ibu bapa, dia boleh faham mengapa orang seperti arwah sampai sanggup bermukah dengan anak dara orang di tengah malam.

Namun persoalannya sekarang, mampukah ibu bapa arwah faham apa yang mereka lakukan, demi kesucian kampung mereka ini?

Mampukah mereka faham bahawa lampu jalan letrik yang dipacak di jalan memasuki kampung mereka itu telah menjadi sarang maksiat dan mereka telah ditugaskan untuk memelihara kampung ini dari membiar masalah itu terus melarat.

Sheikh Kassim telah berkali-kali nyatakan di dalam khutbah-khutbahnya bahawa mereka orang kampung harus berwaspada dengan ancaman dari luar. “Kita harus ingat, tuan-tuan sekalian, bahawa agama kita akan perlahan-lahan terhakis bila kita perlahan-lahan menuruti gaya hidup kafir,” larang Sheikh Kassim di dalam kuliah malam Jumaat lalu.

Sheikh Kassim sendiri bukanlah orang asal kampung itu, tetapi telah menuntut dengan guru pengasas pondok di kampung itu, dan setelah kematiannya telah dinobatkan sebagai mudir baru merangkap pemimpin keagamaan kampung mereka.

“Percaturan nasrani dan yahudi cukup licik, dan kita jangan lekang berwaspada,” katanya di dalam cahaya malap lampu minyak tanah. Tidak berkelip mata pendengar-pendengarnya kerana takut di dalam suasana yang tidak berapa terang itu mereka terlepas isyarat tangan, atau anggukan kepala, atau gerak bibir Sheikh Kassim berbisik. Mereka cukup sanjung tinggi pemimpin mereka ini yang mampu jelaskan kepada mereka hal-hal dari langit ketujuh ke bawah, dan mereka  cuba ajuk pertuturannya, dan pakaiannya, dan gerak-gerinya, yakin padanya ada barakah.

“Kuasa-kuasa penajajah kafir mahukan kita terpedaya dengan tipu daya yang mereka bawa, dengan nama-nama cantik – elektriksiti, demokrasi, universiti – tuan-tuan ini sebenarnya hanya sebahagian rancangan untuk merosakkan masyarakat kita,” sambung Sheikh Kassim.

Orang-orang kampung mengangguk setuju.

Sheikh Kassim melihat keliling, rata-rata di dalam masjid itu muka-muka muda tekun mendengar setiap buah fikiran yang jatuh dari bibirnya.

Alhamdulillah, akhirnya kariah ini faham kepentingan hidup beragama, dia terkenang saat dia mula mengambil alih pondok gurunya dahulu, masjid ini hanyalah menjadi tempat persinggahan yang tua dalam perjalanan mereka ke kubur. Malah memandangkan kubur hanya beberapa langkah dari masjidnya ini, boleh juga dikatakan mereka singgah di situ untuk bersedia turun ke dalam kubur.

Suasana sudah berubah kini. Semakin ramai pemuda-pemuda meluangkan masa mereka di rumah suci ini untuk mengaji dan mendalami agama. Ada hikmahnya juga pasar hari ini tidak mampu mengambil pekerja, sekurang-kurangya ia mendekatkan manusia kepada tuhan.

Dia membetulkan duduknya. Lututnya mudah pedih bila bersimpuh sekarang, usianya semakin tua. Dia rapikan kain sarung yang dipakainya sebelum menyambung kuliahnya…

###

“Mansur, tolong jelaskan kepada aku, apa yang kamu cuba lakukan?”

Tok Penghulu hanya duduk senyap di atas kerusi cengal yang besar ini. Kerusi di depannya lebih besar dan empuk tetapi kosong. Penghuninya sedang berdiri di hadapan tingkap menyalakan paipnya.

Dua tiga hela nafas sebelum tembakau di dalamnya berjaya dinyalakan. Tuan DO berpusing menghadap tamunya. Dia tidak dapat menahan dirinya dari menilai kekolotan Tok Penghulu Kampung Renggis. Mengapa mereka ini tidak mahu hidup di dalam abad ke20? Dia tidak faham apa tarikannya hidup di dalam dunia magis.

“Saya tak faham Mansur, apa yang orang kampung kamu susah sangat terima lampu jalan. Lampu jalan, Mansur! Bukan kabaret!”

“Maaf datuk. Saya percaya orang kampung risau banyak berlaku perkara jahat dengan lampu-lampu lestrik itu,” kata Tok Penghulu.

Tok Penghulu selalu berjaga-jaga dalam pertuturannya apabila menghadap Tuan DO. Berbanding kuncunya Idris, tuan DO lebih tajam kata-katanya bila membincangkan adat. Dia orang sekolah Inggeris dan telah mengaji jauh, di sekolah ternama di Singapura, dan walaupun bangsa tempatan telah di lantik ke jawatan tinggi di dalam kerajaan kolonial Inggeris. Pengajiannya itu membuatkannya dia sangat memandang lekeh kepada fahaman dan ilmu tradisional yang masih kuat diamal di Kampung Renggis. Tok Penghulu masih lagi jelas dalam ingatannya kata-kata tuan DO dahulu bila berlaku masalah perwarisan di kampung mereka, “agama kamu agama padang pasir kuno, terima sahajalah undang-undang Kolonial!”

Na’Uzubillah. Tak sangka terlanjur mulutnya berkata sedemikian.Begitu bencinya tuan DO kepada adat resam mereka, kecuali untuk anugerah kurniannya yang benarkan dia digelar ‘Datuk’, meskipun negeri mereka tanpa raja.

“Saya pohon datuk janganlah keras sangat dalam hal ini,” rayu Tok Penghulu, “mereka ini bukanlah pembunuh, tetapi bertindak dengan niat baik.”

Tuan DO ketawa berdekah-dekah,”The road to hell is paved with good intentions old chap!” Tok Penghulu keliru maksud jampi Tuan DO. “Hanya kerana mereka berniat baik, itu tidak kurangkan silap yang mereka lakukan.”

“Datuk tolonglah, saya akui mereka terkasar sedikit tetapi itu tidak bermakna mereka patut dikenakan hukuman berat,” kata Tok Penghulu lagi. Dia sedar sekiranya anak-anak buahnya dijatuhkan hukuman membunuh, mereka akan dipenjarakan dan menyebabkan keluarga-keluarga mereka kehilangan sumber rezeki. Sudahlah waktu ini kemiskinan semakin kuat.

“Kamu mahu saya berlembut Mansur, tetapi cubalah fikir, apa yang akan saya terangkan kepada Mr Hetfield bila dia tanyakan soal ini? Mr Hetfield, dia…he’s not a very charitable man.”

“Kamu cuba jelaskan kepada saya, bagaimana kamu, kononnya orang-orang alim beragama, boleh begitu kejam melayan manusia?”

Tok Penghulu sudah jangkakan debat ini akan berlaku.

“Datuk, ini sudah lebih dari soal jenayah. Tolonglah faham! Ini soal maruah dan masyarakat!”

Tuan DO hanya menggeleng kepala, “Soal maruah? Masyarakat? Kerana governur mahu meletakkan lampu-lampu jalan dan kemudahan-kemudahan moden untuk mengelokkan hidup masyarakat kamu?”

“Maaf datuk, mungkin datuk hanya lihat lampu-lampu jalan ini sebagai tiang-tiang di tepi jalan, tetapi itu hanyalah dari luaran. Bagi kami, ia soal akhlak anak-anak muda kami! Sudah berapa ramai yang kami tangkap mengambil peluang berasmaradana di bawah tiang celaka ini!”

Tok Penghulu menyesal terlebih kata, dia tidak mahu menaikkan kemarahan Tuan DO tetapi kata-katanya sudah melampaui batas.

Tuan DO hanya diam memerhati lawannya dari tepi jendela. Bajunya melekat ke badannya akibat peluh, membuatkan dia berasa sedikit tidak selesa. Dia sepatutnya memakai singlet di bawah kemejanya, fikirnya, tetapi baju-baju dalamnya semua telah dibuang kerana itu bukan fesyen semasa lagi. Ini semua angkara Clark Gable dan filem barunya!

Manakala terhadap kata-kata Tok Penghulu, dia juga hanya mampu menahan dan mengeluh menangani situasi ini.

Dia tahu tidak ada gunanya bertengkar dengan Mansur dalam hal ini; inilah triniti suci di dalam minda-minda kampungan: agama, moral, dan maruah. Tidak ada cara hal ini dapat dibincangkan secara rasional dengan mereka, kepercayaan ini dipegang dengan cara dogmatik bulat-bulat seperti yang diucapkan oleh lebai-lebai mereka. Itulah minda mohammedans.

Tuan DO terlalu sedar akan hal ini. Sedangkan isterinya sendiri tidak dapat dia yakinkan, dan masih lagi tertakluk kepada fahaman-fahaman kolot, bomoh, ilmu hitam, takdir. Isterinya, anak bangsawan taraf kerabat yang kaya-raya, yang sudah berbagai-bagai buku dan seminar telah di bawa menonton, bermacam-macam bijak pandai universiti disuaikenal, tetapi bila sakit masih lagi mahu kepada daun, akar dan jampi.

Dia mahu saja katakan kepada Tok Penghulu yang di depannya ini bahawa dunia ini begitu luas dari Kampung Renggis yang hanya satu ceruk di muka bumi ini. Bagaimana di dunia Arab sendiri, tempat terbitnya agama yang mereka anuti itu, bandar Kaherah berkelipan dengan lampu-lampu jalan, kafe-kafe yang meriah dan pelabuhan-pelabuhan yang tidak terhenti perniagaannya.

Tuan DO cukup suka mengamati poskad-poskad gambar Kaherah yang disimpannya. Itulah yang sepatutnya kita jadi, moden! Negeri yang bertamadun dengan jalan-jalan yang dirancang dan arkiteksur yang mengagumkam, bukannya rumah-rumah kayu di tengah hutan belantara.

Apakah yang begitu membezakan antara mereka, penduduk-penduduk di Tanah Melayu, dair pelbagai suku : Melayu, Bugis, Jawa, Mandaling, atau Boyan, dari mereka yang tinggal di Kaherah? Tidakkah mereka satu tuhan, dan sama-sama tiap-tiap Jumaat mendoakan Khalifah yang bersemayam di kota Istanbul?

Dia mahu ucapkan semua ini, tetapi hanya mampu mengeluh.

Tiada guna untuk menyuarakan semua ini kepada Mansur, baginya kehidupan yang moral ialah untuk meluangkan semua masanya di dalam masjid. Hutan belantara, dan kerbau-kerbau di sawah, dan harimau dan ular yang berkongsi serpih kecil bumi mereka ini, itulah dunia dan segala-segalanya bagi orang-orang seperti Mansur dan penduduk Kampung Renggis. Dan isterinya.

Maka pelikkah mereka hari ini bertuankan raja-raja berkulit putih?

“Baliklah Mansur,” kata Tuan DO, “dan beritahu anak-anak buah kau yang bertanggungjawab untuk serah diri.”

Dia menghembuskan keluar asap tembakau ke jendela.

“Sekurang-kurangnya nanti mereka terlepas hukuman bunuh.”

Tok Penghulu tunduk ke bawah, di wajahnya terpampang keserabutan yang hinggapi mindanya. Tuan DO pula masih lagi berdiri di samping jendela, memandang jauh.

“Satu lagi Mansur,” tambahnya.

“Aku akan luluskan pemasangan lampu-lampu baru di Kampung Renggis, jadi harap kamu bantu.”

###

Tok Penghulu tiba agak lewat dari pejabat DO di bandar, hujan di dalam perjalanan membuat jalan yang mereka lalui berlecak dan sukar di lalui motorkar Tuan DO.

Kenderaannya melalui di hadapan masjid di kala jemaah-jemaah Maghrib baru beransur keluar. Kehadiran motorkar itu membuat mereka berhenti dan mula berjalan ke rumah Tok Penghulu.

Rumah Tok Penghulu mula bingit dengan kehadiran orang-orang kampung yang menanti di depan tangga rumah. Pintu dan tingkap-tingkap itu sendiri masih lagi rapat tertutup, dan cahaya lampu hanya malap terbit dari celah-celah tingkap bilik penghulu sendiri.

Tok Penghulu masih lagi menekap dahinya ke atas tikar sejadahnya yang nipis.

Dia belum mahu bangun dari sujudnya ini selagi dia belum bertemu dengan jawapan bagi soalan-soalan yang sudah ditanya orang-orang kampung di dalam mindanya.

Bagaimanakah dapat dia selesaikan hal ini?

Dia tidak boleh melawan arahan Tuan DO, kelak menyebabkan kampung ini jatuh ke tangan orang-orang luar yang tidak faham adat resam mereka.

Tetapi dia juga tidak boleh melawan kehendak orang kampung, kerana Shaikh Kassim sendiri telah jelaskan bahawa inilah satu kewajiban yang harus mereka laksanakan untuk memelihara maruah kampungnya ini.

Pipinya basah dengan tangis-tangisnya yang tidak henti-henti.

Fikirannya masih buntu.

###

“Bagaimana Tok? Apa kata Tuan DO?”

Tok Penghulu melihat kepada wajah-wajah muda yang terkumpul bersila di ruang tamunya, jelas mereka menaruh harapan terhadapnya untuk memimpin mereka keluar dari kabus yang melanda.

Adakah mereka masih akan berasa sedemikian setelah dia habis berkata-kata?

(Bersambung)

Advertisements
This entry was written by LDM and published on 11/01/2013 at 23:29. It’s filed under Fiction, ISSUE8, Limau Daun Merah, Writings and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink. Follow any comments here with the RSS feed for this post.

One thought on “Lampu Syaitan by Limau Daun Merah

  1. This is so good!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: