ISSUE Magazine

Puas by Limau Daun Merah

Dia berlari kencang menelusuri koridor serba kelabu, tapak Converse bundlenya meronta setiap kali ditujah ke lantai. Dia tidak nampak jauh ke depan; lampu-lampu di tingkat ini sudah terlampau malap, tetapi dia tidak boleh berhenti berlari. Dia sudah tidak mendengar lagi jeritan ugutan mereka yang mengekorinya, detakan jantungnya mengisi bergema seluruh badannya.

Dia berpusing untuk menuruni tangga, dan tercampak ke belakang menerima sebuah das tembakan.

Badannya menggelupur di atas lantai simen gelap, darah mencurah keluar dari rongga luas di lehernya. Di saat-saat akhirnya, dia hanya nampak sepasang but hitam berjalan menghampiri mukanya.

Hitam.

Pengebumian yang diadakan serba ringkas.

Mayatnya bila dijumpa pihak polis sudah kejang, dicampak ke dalam semak samun jauh dari bandar. Masjid membungkus rapi di dalam kapan dan menyelindungi jahitan-jahitan post mortem yang dilakukan.

Ibunya masih menangis teresak-esak; dia tidak dapat padamkan rupa mayat anaknya yang terseksa dari mindanya.

Matanya merah, bengkak kerana tidak putus menangis. Di mana silapnya?

Tidakkah dia seorang ibu yang baik, yang telah mendidik anak-anaknya sebaik mungkin?

Dia tidak sanggup menoleh dari jasad anaknya yang semakin dikambus tanah.

Dia tidak berpaling memandang anaknya yang sedang cuba menenangkannya.

+++

Sinar matahari sayup di celah-celah langsir yang ditarik rapat.

Kamar itu senyap, kesunyian tengah hari hanya diisi deruman perlahan kipas angin.

Ita mememerhati wajah yang lena di hadapannya.

Keras, keletihan, segala kesengsaraan yang terbuku di dalam hati Ahmad kini terakam di wajahnya. Di dalam kerut halus yang terukis di sisi-sisi matanya. Di dalam rona warna kulitnya yang semakin menguning.

Tidak lama dahulu, masih berbaki wajah keanak-anakan pada teman lelakinya itu, sebelum kematian abangnya beberapa bulan lalu. Banyak yang berubah sejak kejadian itu.

Ita melihat telefonnya, sudah hampir 4.30 petang.

“Sayang, dah petang.”

Dia membelai rambut Ahmad. Tiap-tiap kali mereka perlu berpisah bagaikan menelan duri buat Ita.

Ahmad melepaskan Ita dari dakapannya dan menggeliat tubuhnya bangun.

“Pukul berapa dah awak?”

Dia masih terduduk di atas katil, matanya tertutup, cuba menyesuaikan kepada cahaya petang.

“Tak lama lagi ayah patut sampai rumah.”

Ahmad masih duduk. Dia pandang ke arah mata airnya.

Pipinya yang kemerah-merahan. Lengannya yang kurus. Loket yang tergantung di lehernya.

Hampir setiap hari Ahmad kembali ke kamar ini untuk bersama dengan Ita.

Bila hanya mereka berdua bersama, semua kesukaran dan kepahitan dunianya lesap.

Lenguh lebam tubuhnya terawat dengan sentuhan Ita, rumit ruwet mindanya hilang diganti tawa Ita.

Dia tidak akan pernah luahkan, tetapi dia tidak sanggup melihat Ita disakiti, tubuh yang lembut itu, walau sedikit sekalipun. Italah satu-satunya punca ketenangan dalam hidupnya sekarang.

Dia masih tidak bergerak dari atas katil walau sudah hampir sepuluh minit berlalu.

“Nah baju awak,” Ita serahkan t-shirt kepadanya. Ita tercegat berdiri perhatikan Ahmad sarung bajunya.

“Kenapa wak?”

“Sayang, kenapa tak nak balik sekolah?”

Ahmad alihkan matanya. Dia mencari-cari cermin untuk rapikan rambutnya.

“Cikgu pun dah tanya Ita pasal awak. Kenapa tak nak balik sekolah?”

Ahmad bangun dan mengemaskan tali pinggangnya. Dia mengintai-intai di celah-celah langsir, mencari-cari pandangan-pandangann menarik di luar tingkap bilik Ita.

“Bila sayang nak balik sekolah?”

Ahmad berpusing menghadap Ita.

“Saya rasa saya dah tak balik dah ke sana.”

“Kenapa?”

“Buat apa?”

“Kan sekolah tu penting?”

“Tak. Apa guna sekolah untuk orang macam kita? Kita bukannya orang kaya boleh sambung belajar tinggi.”

“Tapi kita tak tahu yang. Mungkin nasib kita baik. Kalau kita belajar rajin-rajin, kita boleh dapat biasiswa.”

“Biasiswa tu untuk anak orang kaya je, yang ada duit bayar kelas-kelas tambahan. Saya ni manalah bijak sangat nak boleh pandai sampai boleh lawan diorang.”

“Kalau kita tak cuba kita tak tahu yang.”

Ahmad meraba-raba poket seluarnya untuk kotak rokok yang dibelinya tadi. Ada, tapi dia perlu keluar dahulu dari sini.

“Ayang balik sekolah ya?”

Ahmad tidak memberi sebarang jawapan, hanya sekadar tundukkan kepala kepada

soalan Ita itu.

Ita mendekatinya dan memeluknya erat.

“Saya tak sanggup kehilangan awak.”

Ahmad alihkan tangan dari poketnya.

+++

Sudah berapa bulan berlalu setelah kematian abangnya.

Keluarga mereka sejak itu telah disisih masyarakat. Pelbagai khabar angin tersebar, kononnya menjelaskan kematian arwah. Cerita-cerita biasa: dadah – samseng – setan. Ahmad sudah pekakkan telinganya kepada semua desas desus yang menjelekkan itu.

Dirinya tidak pernah aman sejak abangnya mati.

Dia bergegas ke pusat snuker. Tanda dia sedari sudah berkali-kali telefonnya menerima panggilan, pastinya dari Pa’at.

Dia berjalan secepat mungkin, resah sekiranya Pa’at naik angin.

“Telepon ko tu buang dalam sungai gombak jolah. Tok reti nok menjawab, serupo tak ado telepon.”

“Sorry Pa’at aku sibuk sikit tadi.”

Pa’at tidak menjawab maafnya. Tumpuannya pada meja snuker, dia mencari sudut untuk memasukkan bola kuning yang terlekat dia antara bucu kiri meja dan bola hitam. Dia tinggal tiga bola untuk memenangi permainan ini.

Dia berhenti 20 darjah dari sebelah kiri lubang yang terletak di hadapannya, dan merendahkan badannya.

Dia menarik nafas, berhenti, dan melepaskan pukulan.

Bola putih berlari-lari laju di atas felt meja itu, terlepas bola-bola yang ditujunya, sebelum berakhir di dalam lubang.

Pak,” carut Pa’at.

Dia lempar kayu snuker ke pemain yang berdiri di sebelahnya.

“Ah ko. Kenapa lambat?”

Ahmad perhatikan betul memek wajah Pa’at, kadang-kadang dia dapat teka sama ada ketuanya ini marah atau tidak. Sama ada dia gembira, marah, atau sedih, wajah tanpa isi itu tetap ketat.

“Aku leka sikit tadi, tengah dengan kawan.”

“Ah dengan betina lah tu,” dia mengambil puntung rokok dari belakang telinganya.

“Ni,” dia menyeluk poket jeansnya yang ketat, “hadioh.”

Tiga ratus ringgit, dalam wang lima puluh-lima puluh.

“Oghang atah suko ko buak kerjo. Dio kato ko baru mulo pun dah ganah macam rimau”

Ahmad masih mengira semula duit yang diterimanya, kemudian dilipat, kemudian dikira semula.

“Abang ko pun tok kejam macam nih. Ko memang hati kering.”

Ahmad ketawa kecil. Segera dia teringat tentang berita yang didengarnya semalam, “Eh aku nak tanya…

Kaca pecah melayang, dan sekumpulan lelaki berparang berlari masuk ke dalam, menjerit-jerit di dalam Bahasa Kantonis.

Ahmad dan Pa’at tunduk ke bawah, mereka tahu ini bukan pergaduhan yang melibatkan mereka, penyerang-penyerang itu mereka kenal dan mereka tahu ini perselisihan di antara kongsi.

“Jom jom keluar, karang tak pasal-pasal kito pun keno tetok.”

Mereka cepat-cepat menyusup keluar, terlindung dari pandangan oleh meja-meja snuker. Tidak ada yang mencari mereka pun, mereka yang bergaduh terlampau sibuk mengelak tetakan, dan membalas tumbukan, dan melempar bola-bola sesama sendiri untuk menyedari pemergian mereka.

Mereka duduk minum teh tidak jauh dari kawasan pergaduhan tadi, rehat sebentar sebelum pulang ke rumah apabila matahari terbenam.

“Susoh hidup jadi gangsta ni Amad. Tak ada maso kito ni boleh rasa betul-betul aman. Ado jo bendo hok tak keno.”

Pa’at mengacau-ngacau tehnya, sehingga sebati susu lemak manis di dalam cawannya.

Dia merasa secamca tehnya itu, dan mengacaunya semula.

“Ko tahu tak Amad, aku ni nok balik Dungun, tapi aku takuk orang sana dah tok paham cara aku cakap. Oghang kato doh kl sangak.”

Ahmad mengangguk tanpa henti menghirup minumannya.

“Abang kau dulu tu memang kawan baik aku. Aku sampai hari ni sedih apo jadi ko dio.”

“Dio kalau nok belasoh oghang, memang kering. Dio tok peduli ko nangis ko, ko tengking ko, dio bagi sampai lumat.”

“Cumo aku raso dio lupo yang dio manusio biaso, cari gaduh dengan oghang hok samo-samo tok takuk mati.”

Ahmad sudah banyak kali dengar kenangan Pa’at ini.

Malam pertama Pa’at menerimanya masuk ke dalam kumpulannya dulu pun dia telah diceritakan tentang ini.

Malam Sabtu itu, beg Ita dirampas peragut, lantas Ahmad mengejarnya.

Peragut itu berlari sehingga sampai ke sebuah jalan mati, dan Ahmad segera menerkam ke arahnya.

Mereka begelut di atas tar yang kasar itu, Ahmad yang bagai dirasuk begitu gagah menahan peragut itu dari bangun. Dia cuba melepaskan tangannya keluar dari kunci Ahmad, dan berjaya.

Pisau lipat di bawa keluar dan tangan Ahmad di kelar, tetapi kunci tidak dilepaskan.

Ahmad ketatkan lagi, melepaskan tumbukan demi tumbukan ke muka peragut itu, tangan lawannya pula beransur lesu.

Darah bercampur darah. Tangan Ahmad penuh dengan luka-luka dikelar pisau peragut itu, titis-titis darahnya jatuh ke atas jalan.

Mata Ahmad buntang, nafasnya berombak tinggi, lengannya mencengkam lebih erat leher peragut yang sudah tidak bermaya, mukanya merah membengkak di pukul dan dihentak berkali-kali ke atas tar.

Lorong kosong menjadi riuh dengan jeritan-jeritan menyuruh Ahmad berhenti, tetapi tiada bunyi sampai ke telinganya. Desingan dalam telinganya mengatasi semua.

Api kemarahan yang terbakar marak membutakan mindanya, gerak gerinya dikemudi nafsu kebinatangan yang perlu menghancurkan musuh yang ada dalam genggamannya.

Tidak ada perhitungan kasihan, simpati, suasana terhadap mangsanya, keputusannya hanya hitam atau putih, serang atau di serang, hidup atau mati.

Dia dan peragut dileraikan oleh mereka yang tiba dan dia telah dibawa pergi dengan segera. Dia tidak perasan ke mana dia di bawa pergi, pandangannya masih tertumpu kepada jasad peragut yand ditinggal terlentang di atas tanah. Mukanya rabak dicarik kerikil-kerikil jalan.

“Ko gilo Mad. Ko tahu tu budok mano?”

Suara itu suara keselamatan, suara yang dia boleh percayai.

Suara itu ketawa.

“Memang lunyai ko pukol budok tu Mad. Memang seghupo ko orang adik beradik!”

Kenalan abangnya yang membawanya pergi, dia semakin beransur tenang, tenang, dan pandangannya menjadi gelap.

Malam itu detik dia mula menyertai sebuah dunia baru.

Dalam dunia baru itu, bakat dia dirai dengan penuh penghargaan.

Dia jarang dipuji sebelum ini, baik di sekolah atau di rumah. Dia tidak ada kebijaksanaan atau kemahiran untuk dikenali di sekolah, tetapi di lorong-lorong belakang, di tengah-tengah kota yang sunyi di waktu malam, keberaniannya memukul, melibas, menetak, menghentak, mengelar, menikam tanpa sedikit belas kasihan tidak putus terima pujian.

Dia tidak pernah perlu berfikir melakukan kerja-kerja itu.

Benar, abangnya dahulu pun dibunuh dengan kejam, dan dia masih mahu membalas dendam atas kematiannya, tetapi dia juga sedar itulah kekejaman dunia: kau tidak semestinya hidup esok atau lusa.

Pa’at masih tidak sudah-sudah mengacau tehnya. Mahu saja Ahmad alihkan bekas gula dari depannya.

“Mad, tadi satu lagi benda aku tak sempat bagitau.”

Tangannya masih mengacau minumannya.

“Rizo nak minta tolong kau buat benda.” Pa’at teragak-agak menyampaikan pesanan ini.

Ahmad tidak faham apa yang istimewa tentang permintaan ini. Rizo memang jauh lebih tinggi dari mereka dari segi hieraki kumpulan, tetapi bukanlah sesuatu yang aneh diminta dilakukan sesuatu. Bukankah mereka baru sahaja selesaikan urusan Pak Tam Sulong?

“Ok, aku tak ada masalah. Apa yang dia nak suruh buat?” tanya Ahmad.

“Ada budak dia bawak lari barang, adalah dalam lima ribu. Dia nak suruh kau setel.”

“Kau tak tolong sekali ke Pa’at?”

“Aku cuba tak masuk campur hal Rizo,” Pa’at akhirnya meneguk minumannya, “lagipun, dia sebut nama kau.”

Ahmad bertambah hairan.

Urusan Rizo terlampau mudah untuk Ahmad. Maklumat dan alamat mangsanya semua sudah tersedia diberikan, dia hanya perlu masuk melalui pintu depan untuk menyelesaikan hal ini dalam masa kurang lima belas minit.

Dia terfikir untuk selerakkan sedikit rumah mangsanya supaya kelihatan bagaikan rompakan tetapi bilik yang didudukinya sudah cukup semak. Bekas-bekas makanan dan plastik bergelimpangan, saki-baki ubat nyamuk, puntung rokok, dan perkakas-perkakas keperluan dicampak merata-rata.

Kalau polis tengok pun mesti tutup kes, fikir Ahmad, Mat Pet bunuh Mat Pet.

Sebaliknya, pergolakan besar meletus.

Mangsa yang dicari Rizo bukan sahaja telah melarikan barang, malah telah menyertai kumpulan baru untuk menyelamatkan dirinya.

Pembunuhannya menimbulkan ribuan dendam lama. Satu demi satu rakan-rakan Ahmad menjadi korban kerana dalam pemburuan pembunuh yang begitu berani.

Mereka dipukul dan diseksa, untuk memaksa mereka pecahkan rahsia pengaturan kejadian itu.

Hakikatnya mereka tidak tahu, perkara ini menjadi urusan antara Pa’at, Rizo dan Ahmad sahaja.

Namun, keganasan berterusan, satu pembunuhan dibalas sebuah lagi pembunuhan, dibalas dua.

Suasana di kawasan mereka menjadi sangat tegang.

Semua ini tidak lari dari pengetahuan Ita.

Dia tahu teman lelakinya pasti terlibat di dalam pergolakan yang sedang berlaku di dalam kawasan mereka, walaupun dia tidak tahu yang Ahmadlah punca segala-galanya.

Tetapi dia tahu dia tidak sanggup lagi berdiam diri dan biarkan Ahmad terus dalam dunia tanpa belas kasihan itu.

Ahmad tiba petang itu dengan seluruh badannya basah dengan keringat. Dia terpaksa berlari untuk ke rumah Ita setelah hampir-hampir bertembung dengan beberapa musuhnya di tengah-tengah jalan. Walaupun kehadirannya tidak disedari tetapi dia berlari jua sebagai sebuah langkah keselamatan.

Dia melepaskan bajunya ke lantai. Mata Ita memerhati luka dan lebam di badan Ahmad, semakin hari, semakin bertambah, semakin gelap, semakin dalam. Pingat-pingat kejayaan hidup di jalanan.

“Sayang,” Ita menyentuh tangan Ahmad, ” bila nak balik sekolah?”

Rimas Ahmad mendengar soalan itu. Butakah Ita?

Tidakkah dia nampak kesan-kesan lebam hitam di atas badannya, atau keringat yang belum habis kering, dia tidak nampakkah yang ini hidupnya sekarang?

Mana ada tempat untuk samseng, kaki pukul sepertinya, sekarang, di belakang meja-meja, menggalas beg-beg diisi buku-buku lusuh?

Mungkinkah dia bertahan dengan tegur komen cikgu-cikgu yang tidak tahu hukum di jalanan ialah kau perlu jaga nama kau, kehormatan kau, dengan cara apa sekalipun?

Mungkinkah sakit hatinya terhadap sindir guru-guru di sekolah boleh diselesaikan dengan menyumbat batang-batang kapur ke dalam mulut lahanat itu, agar dia tahu yang Ahmad ini bukan nama yang boleh dibuat main-main.

Yang tangannya, bukan lagi tangan yang menulis di atas kertas, tetapi memahat nasib seseorang setiap kali ia melayang.

Jantung Ahmad mula berdetak laju.

Yang mindanya, hanya ketagihkan markah, pangkat, keputusan setiap malam yang menyatakan esok dia masih akan bangun pagi.

Telinganya bingit diisi desingan.

Ita tidak faham semua itu, fikirnya, dan Ita patut difahamkan.

+++

Abangnya berpesan kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkan kampung mereka itu.

Tiap hari mereka berkongsi jalan dengan kereta maha mewah yang memecut laju merentasi kawasan-kawasam tempat tinggal mereka, tidak sekali pemandu-pemandu ini menoleh menawar senyuman atau ucap selamat kepada tetangga yang hidup di sebelah villa-villa besar mereka.

Sewaktu abangnya masih hidup, kerap kali mereka berdua berdiri di tingkap dan memandang keluar melihat rumah-rumah indah di depan pangsapuri mereka.

Dari tingkat mereka sahajalah dapat mereka lihat bagaimana jiran-jiran ini tinggal. mereka tidak pernah masuk lalu di dalam, laluan masuk itu semuanya dikawal oleh sentri-sentri nepal.

“Aku nak kau keluar dari semua ini Ahmad,” kata si abang petang hari terakhirnya di dunia, “walau apapun terjadi dekat aku.”

“Aku dah tak ada peluang, walaupun aku mahu tetapi setiap langkah aku sekarang hanya buatkan aku jatuh lebih laju. Tapi kau masih mampu.”

Dia hanya mengangguk, dan mereka bersama-sama melihat sketsa kesibukan kotaraya yang bermain di hadapan mereka buat seketika lagi.

Featured image is Ruling With a Nylon Fist by ChaceofSpades.


Limau Daun Merah hairan mengapa semakin ramai yang keliru tentang identitinya, sedangkan gambarnya jelas di sebelah.

Advertisements
This entry was written by LDM and published on 10/11/2012 at 12:21. It’s filed under ISSUE6, Limau Daun Merah and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink. Follow any comments here with the RSS feed for this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: