ISSUE Magazine

Amira by A Arjuna Daud

Ahad, 25 November 2007

 Matahari makin menginjak ke ufuknya. Dari jauh, sinarnya makin sirna, sedikit demi sedikit, menandakan malam bakal menjengah dalam beberapa ketika.

 Aku berdiri menanti Amira di luar masjid Melbourne Madinah setelah baru saja menunaikan solat asar. Agak terlewat sebenarnya kami solat, lantaran filem Harry Potter yang kami tonton bersama di panggung begitu panjang, seakan tiada kesudahan. Ah… aku memang tidak suka dengan Harry Potter. Tengok pun kerana Amira yang beriya-iya mahu menonton. Mujur sekarang ini musim panas, siangnya panjang.

 Sedang aku mengelamun, tiba-tiba terdengar suara lembut memanggil dari belakang.

 Amira: Sorry terlewat sikit. Apa plan sekarang?

Aku:    Eh Amira! It’s ok. Hmmm, awal lagi ni. Maghrib pun setengah jam lagi. Jom la jalan-jalan dulu dekat kedai depan tu. Kot-kot ada jumpa barang yang berkenan.

Amira: Hah, ok juga tu. Jom la. Pergi kedai Tiffany’s tu ke. Orang cakap cincin dekat situ cantik. Orang la cakap. Saya tak pernah masuk pun.

Aku:    Heh, banyak cantik awak. Awak ingat saya menabung dari kecil ke nak beli cincin dekat situ?

Amira: Ala cik abang ni…orang ajak tengok je. Bukan suruh beli pun. Awak ni cakap macam nak bagi saya cincin pula. Hihihi.

Aku:    Errr…dah, dah. Jom jalan kejap depan tu.

Kami melangkahkan kaki menuju ke Bourke Street. Cenderamata yang kami beli sebelum ini kami tinggalkan seketika di masjid Melbourne Madinah, cenderamata buat keluarga di Malaysia. Sebenarnya, aku dan Amira baru sahaja selesai mengambil peperiksaan akhir kami selaku pelajar sarjana muda seminggu yang lepas. Kini kami dalam saat-saat akhir di Melbourne sebelum berangkat pulang ke ibu pertiwi sekitar sebulan lagi.

Langkah demi langkah tak terasa penatnya kerana masing-masing asyik bercerita. Ah, tak begitu sebenarnya. Dia yang asyik bercerita, sedang aku lebih seronok menjadi pendengar yang setia. Cerita tentang keluarganya, kawan-kawan, hidup. Ah, semualah. Tak henti-henti dia bercerita. Sesekali aku mencelah, “Oooo”, ”Ye ke?”, ”Habis tu macam mana?” Itulah saja dialogku menyampuk ceritanya. Sekadar menunjukkan pada dia aku fokus dan seronok mendengar. Perasaanku ketika itu berbunga-bunga. Aku gembira, dan bahagia, sesuatu yang tak pernah aku rasa sebelum ini.

Sedang kami asyik berjalan dan mendengar, tiba-tiba iPhoneku berbunyi.

Aku:    Ah, siapa pula ni? Private number. Ni malas nak angkat ni.

Amira: Ala angkat jela. Kot-kot bank ke yang call. Cakap menang cabutan bertuah sejuta dolar. Boleh beli cincin dekat Tiffany’s. Hihihi.

Aku:    Banyaklah awak punya cabutan bertuah. Hari ini hari Ahad la, cik adik oi. Bank mana buka!

Amira: Hehe…ala, angkat jela. Bukan berdosa pun kalau angkat. Habis-habis pun buang masa lima saat je…

Aku:    Yela, yela…

Saat itu, aku dan dia berada betul-betul di hadapan Melbourne Central, melihat keindahan rekabentuk State Library.

Panggilan diangkat, dan aku tergamam.

Ayahku dimasukkan ke ICU… sakit jantung…

 iPhoneku terlepas dari genggaman, jatuh mencium bumi. Dunia seakan hilang dari pandanganku. Semuanya kelihatan jauh… sayup… kabur…

Terasa badanku disentuh. Lembut… kemudian menjadi goncangan yang makin mengeras. Membuatkan aku tersedar dari khayalan.

Amira: Sorry terpaksa sentuh awak. Saya tengok awak lain macam je. Awak ok tak ni? Siapa call tadi? Ni telefon awak. Nasib baik awak pakai cover, kalau tak dah pecah ni.

Tanpa sepatah kata, aku berlari menaiki tram, meninggalkan Amira yang termangu sendiri.

Malam itu juga aku pulang ke Malaysia, tanpa sempat meninggalkan pesanan buat Amira dan juga rakan-rakan.

+++

Ahad, 18 November 2007

Baru seminggu lalu aku mengenal cinta.

Ya, seminggu yang lalu.

Begitu aneh sekali diriku ini. Anak-anak muda sudah belajar mengenal cinta sejak di bangku sekolah menengah lagi, bahkan ada yang sedari sekolah rendah sudah berjinak-jinak dengan cinta, tapi aku hanya baru seminggu yang lalu.

Kerana itu sekian lama aku menyendiri, berjanji pada diri tiada siapa dapat mengisi ruang hati selagi ijazah belum kugenggami. Walaupun aku belum menggenggam ijazah itu secara rasmi, namun aku kira aku sudah layak bergelar graduan sesudah tamatnya peperiksaan akhirku.

Dan Tuhan memudahkan kembaraku dalam mengenal cinta.

Amira.

Sudah lama aku kenal pemilik sosok cilik ini. Orangnya manis. Lemah-lembut. Pandai membawa diri. Sejak tahun satu lagi aku sudah mendengar namanya, melihat dirinya, namun tak pernah aku tegur. Aku memang pemalu, terutamanya dengan gadis, tetapi tidak malam itu. Entah dari mana keberanianku datang.

Biasanya setiap kali tamat peperiksaan semester, aku dan rakan-rakan pasti berkumpul di sebuah restoran untuk meraikan kegembiraan dan berkongsi cerita. Cuma malam itu lebih istimewa, memandangkan itu peperiksaan terakhir kami. Satu batch turut bersama, lelaki dan perempuan. Sekitar 20 orang juga. Kami memilih Restoran Sofia, sebuah restoran Itali yang terletak agak jauh dari bandar. Tepat jam 6 petang, kami berkumpul beramai-ramai di Melbourne Central, bergerak menaiki tren ke stesyen Camberwell.

Aku duduk berhadapan Amira di dalam tren.

Untung dia duduk bersebelahan Aishah. Kekerapan aku bertemu Aishah, teman sekuliahku yang merupakan teman baik Amira, membuatkan aku tak kekok untuk berbual dengannya, dan Amira pun turut serta dalam perbualan kami. Mujur dia seorang yang peramah. Ah, ciri-ciri wanita yang aku idamkan. Di restoran pun aku duduk berhadapan dengannya. Sudah dari awal aku atur dengan Aishah.

Sebelumnya, aku sudah bertanya pada Aishah, apakah dia sudah berpunya. Jawapan yang positif dari Aishah membuatkan aku berani untuk mencuba nasib. Ah, sudah tahun akhir. Bila lagi mahu mencuba, kan? Takkan sampai ke tua mahu menyepi?

Sebaik pulang dari restoran malam itu, terus aku “follow” Amira di Twitter. Facebook? Ah, sudah lama kami berkawan di Facebook, cuma tak pernah bertegur-sapa. Perbualan malam itu kami sambung dengan lebih rancak di Twitter. Pelbagai isu kami bincangkan dalam jangkamasa hanya sehari. Aku senantiasa bersama dengan iPhoneku sahaja. Sudah pasti dia pun sama. Setelah cukup yakin, dan punyai keberanian yang cukup, aku tak menunggu lama untuk mengambil langkah seterusnya.

Lepas 24 jam dari saat kami mula berbual, aku terus “confess”.

Ah, melalui mesej Twitter saja. Aku kan pemalu orangnya. Ya, orang mungkin kata aku terburu-buru. Patut lebih bersabar. Kenali dulu hati budinya. Tapi itu bukan aku.

Aku tak mahu bermain-main dengan cinta.

Setelah aku yakin, aku buat. Tak perlu menunggu lama-lama. Terpulang pada dia untuk menerima aku atau tidak.

Dua jam mesej aku tak berbalas.

Risau juga aku, bimbang ada tersalah kata yang diungkap. Sepi iPhoneku tanpa sebarang bunyi.

Aku menunggu dan menunggu dengan penuh harapan. Nak ke tandas pun berlari, takut mesej masuk. Aku mula resah dan gelisah.

Ah, cintaku ditolak nampaknya. Walau kata orang-orang tua diam tandanya setuju, tapi aku pasti jika dia diam tandanya dia tak sudi.

Sungguh, penantian itu satu penyeksaan.

Penat menunggu, aku hampir terlena sebelum aku dikejutkan dengan bunyi mesej Twitterku.

Amira!

Bismillah kubaca sebelum melihat mesej yang terpapar. Ah, bukan jawapan yang diberi, tapi persoalan!

“Awak serius ke dengan mesej tadi?”

Aku biarkan dia menanti seketika sebelum aku menjawab. Kenalah jual mahal sedikit.

“Saya sangat serius dengan apa yang saya katakan tadi. Saya bukan jenis yang mempermainkan hati dan perasaan orang. Mungkin awak rasa ini terlalu terburu-buru tapi bagi saya tidak.”

“Saya yakin dengan keputusan saya. Saya nak memperisterikan awak. Balik Malaysia nanti saya akan pergi jumpa mak ayah awak. Itupun kalau awak setujulah”.

Sekali lagi mesejku tak berbalas.

Sejam.

Dua jam.

Sepi.

Ah…kecewa…

+++

Ahad, 25 November 2007

Ahad. Hari di mana warga Melbourne akan keluar sedari awal pagi. Ada yang beriadah di taman. Ada yang ke pasar mencari sayuran segar. Tak kurang yang sekadar keluar untuk berjalan. Mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat. Tidak terkurung dan terperuk semata-mata di rumah.

Pagi itu aku berjanji dengan Amira untuk keluar bersama. Rancangannya ke Pasar Pagi Camberwell, kemudian membeli-belah di DFO. Selepas makan tengahari tengok wayang filem Harry Potter pula. Kemudian sambung membeli-belah sampailah ke malam.

Kami menaiki tren di Melbourne Central menuju Camberwell. Baru minggu sudah destinasi ini kami tuju. Cuma minggu lalu tujuannya untuk makan-makan, minggu ini membeli-belah. Minggu lalu beramai-ramai, minggu ini kami hanya berdua.

Aku dan Amira tersenyum dan tertawa mengenangkan apa yang telah terjadi dalam jangkasama seminggu ini. Betapa cepat perancangan Tuhan, dan begitu mudah Dia membuka pintu hati kami. Minggu yang sudah kami tak mengenali satu sama lain, dan hari ini kami berjalan berdua bersama.

Perjalanan sepanjang hari itu kami gunakan sebaik mungkin untuk mengenali hati budi masing-masing. Amira seorang yang peramah, lemah-lembut, baik hati, dan yang paling penting agak gila-gila, ciri seorang isteri yang aku idamkan. Sifat aku yang pendiam dan sedikit pemalu membuatkan aku sering diusik Amira, namun aku tak kisah. Dan yang sebenarnya aku bahagia sebegitu. Sepanjang hari itu, hanya ada satu ketika sahaja yang dia diam. Saat di dalam panggung wayang, menonton Harry Potter.

Hinggalah saat itu…

+++

Isnin, 15 Oktober 2012

Lima tahun sudah berlalu semenjak peristiwa itu. Aku kini memegang jawatan pegawai kanan di salah sebuah konglomerat besar. Sepanjang lima tahun ini, aku berpenat-lelah berusaha keras bekerja dari seorang pegawai bawahan ke tahap di mana aku sekarang ,demi menampung kehidupan aku dan adik-adikku yang sudah hilang tempat bergantung.

Alhamdulillah, adik-adikku kini sudah besar. Adikku yang pertama sudah mula bekerja dan yang kedua akan menjejakkan kaki ke bumi Melbourne tidak lama lagi untuk menyambung pelajarannya di sana. Ya, Melbourne. Bumi yang membawa seribu satu erti buatku. Mengajar aku erti hidup. Erti kesusahan. Erti kesedihan. Cinta.

Komitmen aku bekerja mencari rezeki bagi menampung keluarga membuatkan aku lupa untuk berfikir tentang cinta.

Ah…bukan lupa sebenarnya. Facebook, Twitter, apa-apa sajalah. Semua itu aku tinggalkan. Boleh dikatakan aku langsung tidak bersosial.

Kesibukan mencari rezeki membuatkan aku tiada masa untuk semua ini. Namun itulah, usia makin menginjak tua. Jawatan besar. Berharta. Lama-lama bertanya juga orang sekeliling bila masanya, dan aku hanya tersenyum.

Petang itu aku pulang dari pejabat sedikit awal. Mahu membeli barang persiapan adikku terbang ke Melbourne. Saat aku melangkah ke kereta, aku terlihat dari jauh satu sosok tubuh yang seakan aku kenali. Aku berlari dan mendekatinya, hinggalah dia betul-betul berada di hadapan mataku.

Ternyata wajahnya masih tak berubah.

Cantik dan ayu seperti dulu.

Dia tergamam, seakan tidak percaya aku di hadapannya. Pantas dia membuka beg tasnya, mencari sesuatu dan dihulurkannya padaku.

“Lutfi, iPhone awak…”

(Photo is things left behind by sansumbrella)

Advertisements
This entry was written by issuemagonline and published on 06/10/2012 at 16:56. It’s filed under Fiction, ISSUE5, Writings and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink. Follow any comments here with the RSS feed for this post.

3 thoughts on “Amira by A Arjuna Daud

  1. Pingback: EDITOR’S NOTE #5+PODCAST « ISSUE Magazine

  2. afifah on said:

    nice story…mana sambungannya??..hehe

  3. Pingback: AMIRA Bahagian 2: Memori oleh Adariff | Sudahla Bro!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: