ISSUE Magazine

Temubual by Limau Daun Merah

Batang rokok dijinjing antara ibu jari dan jari runcing, asap halus memanjat mengalir keluar.

Aku alihkan lenganku. Lapik meja plastik gerai ini melekit rasanya, dan ada bau masam. Kopinya terlampau manis, dan lalat tidak putus asa cuba menghurung cebis-cebis makanan yang tertinggal di atas meja.

”Aku tak faham apa yang kau nak.”

Dia hirup menghirup lagi rokoknya. Aroma tajam tembakau sebati dengan garau kata-katanya yang keras.

“Kau nak tanya aku pasal hidup aku? Aku ni kan jual ayam je. Apa yang kau nak dengar?”

Urat-urat tangannya bagai kabel yang melingkar di atas otot-otot kental.

Ada orang beritahu saya pakcik dulu ada niat buka bisnes, aku bertanya.

“Itu cerita lama. Aku masa tu umur-umur kau kot. Biasalah darah muda.”

Bisnes apa?

”Masa tu kau pun tak ada lagi, zaman mak bapak kau mungkin. Aku pun baru habis sekolah masa tu. Nak sambung diploma, tapi tak ada duit jadi aku cuba cari kerja dekat KL.”

+++

Dia perlahan-perlahan berjalan keluar dari bilik mandi. Rakan-rakannya nyenyak tidur, dia tidak mahu mereka terjaga lewat-lewat begini. Harap-harapnya bunyi air tadi tidak terlampau bising.

Pakaian-pakaiannya di ampaian masih lembap. Ah, fikirnya, hujan lagi.

Dia mengisi baldinya dengan helai-helai baju dan seluar yang disidai di balkoni unitnya. Ampaian itu alat berharga di dalam flat yang dikongsi 5 orang ini. Mereka hanya perlukan baju yang tidak basah, dan masing-masing menuntut giliran menggunakannya.

“Lu tak tidur lagi?”

Dia memandang ke Shahrul yang masih lagi bermuka bantal.

“Layan perasaan der. Ambik ilham kat luar ni,” dia menjawab.

Shahrul menyapu matanya sebelum menyertai temannya berdiri di balkoni.

“Mintak sepam.”

Dia renung wajah Sharul yang tersengih, sebelum menyerahkan rokok yang sedang dia hisap kepadanya.

“Lu dah fikir masak-masak ke?”

Dia menjawab ya.

Shahrul menghembus keluar asap dari mulutnya.

“Sayang lah lu tak nak terus duduk dekat KL ni. Banyak benda orang tengah bina sekarang ni. Tengoklah kat luar tu, rangka bangunan naik macam cendawan.”

Sinar bintang-bintang halogen yang hinggap di kren-kren dan bangunan-bangunan yang bertebaran di hadapan mereka menenggelamkan cahaya dari angkasa.

Orang yang bina, kita dapat apa, dia bertanya.

“Ah lu jangan fikir macam tu. Mesti kita pun dapat habuan. Takkan negeri kaya, kita miskin?”

“Paling-paling tak kita dapat kerja kontrak dengan siap-siapa. Mesti ramai orang tengah cari pekerja sekarang.”

Dia tidak membalas pandangan Shahrul yang berfikiran positif.

Tidak berpijak di atas bumi yang nyata, fikirnya, atau tidak mahu menerima hakikat.

Projek-projek pembangunan yang mengisi pandangan dari pangsapuri mereka mungkin memerlukan pekerja, tetapi mereka lebih perlukan keuntungan.

Tidak seperti Shahrul, dia rasa tidak berbaloi dia membanting tulang empat kerat semata-mata untuk gaji yang terlampau kecil.

Dia bukan pekerja asing yang datang semata-mata untuk pulang. Dia datang ke Kuala Lumpur untuk membina kehidupan.

“Kalau macam inilah susahnya, wa rasa lebih baik balik kampung. Sekurang-kuranya boleh berniaga,” katanya kepada Shahrul.

Shahrul menggelengkan kepalanya, sudah banyak kali dia dengar penjelasan ini.

“Orang macam kita yang tak ada sijil tinggi-tinggi, jadi alat je di bandar ni.”

Shahrul belum melepaskan rokok dari tangannya, “Lu kena sangka baik, kalau tak semua benda lu rasa susah.”

“Wa pun macam lu jugak, sekolah cukup reti baca dengan kira-kira je, boleh je dapat kerja.”

“Lu kerja dapat kais pagi makan pagi kais petang makan petang nak sempang, rokok wa pun lu sebat,” dia tempelak, “Wa nak sambung belajar lagi, kalau gaji wa dapat nak beli sayur minggu ni pun susah, nak bayar yuran macam mana?”

“Lu kena bersyukur der. Kita ada kerja ni pun dah rezeki lu tahu. Orang lain nak dapat kerja pun susah, tinggal merempat je mana-mana.”

Shahrul ambil hirup terakhir sebelum memulangkan separuh batang rokok yang tinggal, ”lagipun ini negeri kita. Kalau negeri kaya, mestilah orangnya nanti pun kaya, kalau tak apa tujuan negeri kaya melimpah ruah.”

+++

“Aku pun tak tahu apa jadi ke si Shahrul,” dia menyambung.

“Tak lama lepas tu, dua minggu ke tiga minggu, aku tinggalkan KL balik Ijok. Paling hujung aku dengar dia sakit kencing manis berapa tahun sudah. Entah-entah dah arwah dah kawan tu.”

Susah sangat ke duduk KL masa tu?

“Tak adalah susah mana, tapi aku masa tu ada niat nak sambung belajar. Aku rasa sekarang anak-anak yang tinggal di KL lagi susah, walaupun belajar sampai ke U. Dulu kalau diploma pun orang dah hormat.”

Lepas tu apa jadi?

Dia memandang aku sambil menggulung rokok.

“Aku jadi tukang jual ayam lah.”

+++

Jalan-jalan di kampung jauh berbeza dari jalan di Kuala Lumpur.

Motorkar, motosikal, kereta sewa, dan bas yang memyesakkan jalan-jalan yang luas di ibukota sesuatu yang dia rindukan semenjak pulang ke kampung.

Di sini masih hanya satu jalan yang bertar, iaitu jalan besar yang melaluli kedai-kedai di pekan. Itupun masih jarang-jarang berlalu kereta, basikal dan motosikal berkongsi laluan sempit itu dengan pejalan-pejalan kaki.

Mujur kawasan mereka tinggal itu tidak besar, tidaklah jauh sangat untuk ke mana-mana hanya dengan berjalan kaki.

Dia membesar dalam suasana serba sederhana ini, tetapi hanya selepas pulang dari Kuala Lumpur dia sedar betapa kecilnya dunia yang dia perhati selama ini.

“Kau kerja lah dengan Pak Tam kau tu. Dia pun dah tua, tak larat dah nak kerja berat-berat.”

Dia sudah letih dengan cadangan ibunya itu. Sejak pulang dari KL, itu sahaja yang disuruhnya, ‘kau kerja dengan Pak Tam, kau kerja dengan Pak Tam.’

“Apa salahnya kau kerja dengan Pak Tam tu? Yang penting kerja halal nak.”

Dia tidak tahu cara apa lagi untuk jelaskan pada ibunya.

“Mak, angah nak sambung belajar. Takkan nak kerja dengan Pak Tam sembelih ayam? Macam mana angah nak kumpul duit?”

“Kau simpanlah sikit-sikit ngah. Yang penting rezeki kau kena cari. Lagipun itukan dah ada depan mata, kenapa kau nak susah-susahkan diri?”

“Mak, angah bukan suka-suka nak susahkan diri, tapi angah nak masa muda angah ni diguna betul-betul, itu yang angah nak berniaga tu.”

“Angah pun ada simpan duit sikit dari kerja dekat KL tu, cukup nak buat duit pokok nak berniaga di pekan sehari nanti,” dia beritahu ibunya untuk sekian kalinya.

Ibunya memuncungkan mulutnya, “Kau jangan tolak rezeki ngah. Berniaga ini bukan benda senang, kita pun bukannya orang berduit.”

“Mak jangan risau, kalau kita buat kerja betul-betul mesti boleh berjaya.”

+++

Nasibnya terus malang.

Pertumbuhan negara yang pesat membuat ramai-ramai penduduk meninggalkan kampung untuk mencuba nasib di bandar, sedangkan dia baru sahaja pulang.

Masakan ketenangan dan keheningan kampung mampu tandingi rancak irama kehidupan kota? Sesiapa sahaja yang punya hati yang masih kencang berdetak akan berkejar-kejar untuk bersama-sama dalam keseronakan kotaraya.

Dia yang sudah lali dengan panggilan kotalah yang terima akibatnya.Perniagaan yang dibukanya setelah memajak tanah dan menggunakan semua wang simpanannya berjalan hambar akibat peralihan ini.

Mereka yang tinggal hanyalah yang tidak berkemampuan, yang tua, dan yang masih kanak-kanak.

Golongan yang juga perlahan-perlahan meninggalkan kampung untuk menjadi orang bandar di rumah-rumah pangsa yang semakin sesak, dan menghirup udara kota yang semakin berjelaga.

Dia mengeluh memikirkan suasana ini.

Dia tahu apa pandangan orang kampung terhadapnya. Gagal, penyerah kalah. Sepatutnya dia bersama-sama di kota dengan anak-anak mereka yang sedang gigih berusaha mencari rezeki di sana.

Ah orang kampung, fikirnya, mudah sangat percaya dengan khabar angin.

Dia sudah berkali-kali cuba jelaskan yang kehidupan kota tidak seindah yang digambarkan di dalam peti televisyen yang mereka baru mampu miliki.

Dia cuba jelaskan walaupun di kota pili di dalam tiap-tiap rumah, dan letrik dalam setiap bilik, itu tidak bererti hidup lebih mudah di sana.

Di sini, di dalam kampung, setiap ruang terbuka satu peluang.

Tanah berkongsi hasilnya dengan orang yang mengusahanya. Di kota berbeza, tangan yang membina hanya dibayar gunanya, mereka tidak rasa hasilnya.

Namun, manusia berkejaran menuju cahaya kerana sangkakan ia emas, tanpa mereka sedari sedikit demi sedikit kota yang mereka terokai memerangkap mereka di dalam lumpur yang likat, sehingga akhirnya terpaksa berserah kepada ilahi.

“Saya tengok lu punya kedai, lagi bagus tutup la,” kata Lim.

Dia tidak berkata apa. Dia tahu kata-kata Lim itu benar.

Kedai runcitnya tidak banyak mendapat sambutan. Hari-hari dia terpaksa buang berplastik-plastik bahan makanan yang tidak terjual. Dia terkenang lejer-lejer yang tidak putus dengan tulisan merah.

Lim tidak berkata begitu untuk sakitkan hatinya, dia tahu.

Keluarga Lim sudah dua generasi menetap di kampung ini dan berniaga barangan-barangan runcit.

Benar dia saing perniagaan, tetapi dia juga sudah lama mengenali penghuni-penghuni kampung ini, dan dia juga menyedari perubahan yang sedang berlaku.

“Betul jugak cakap kau Lim. Kampung ni dah tak ada orang yang berkemampuan. Kedai kau nasib baik sebab yang tua-tua semua beli dari kau. Aku ni dia tak berapa nak percaya.”

“Lu tau gua mukan mau suruh lu tutup kedai suka-suka, tapi gua tengok gua punya kedai pun manyak slow, gua rasa lu punya lagi teruk.”

“Tak ramai yang tinggal di kampung ni Lim. Budak-budak muda pun ramai dah pindah ke kawasan-kawasan kilang tu.”

“Lu balang manyak lagi ka?”

Dia menarik asap rokoknya dalam ke paru-parunya dan biarkan nikotin  itu meresap sepenuhnya ke setiap rongga sebelum akhirnya melepaskan kembali.

“Apa maksud kau?” dia mencucuh bara puntungnya ke dalam bekas abu.

Walaupun mereka kawan, dia tahu pertemuan kali ini bukan sekadar persahabatan.

Suasana ekonomi sudah semakin keruh, harga barang semakin tinggi tetapi pembelian tidak.

Perniagaan mereka berdua sedang melalui kesusahan seperti yang Lim sebutkan, dan dia yang lebih teruk merasainya.

Stok tidak berjalan,barangan makanan semakin rosak, kerugian demi kerugian.

“Lu tahu gua talak jahat munya orang. Bila lu mau buka kedai itu hari, gua pun ingat ‘bagus!’ sebab kedai gua pun sudah manyak bisnes.”

“Tapi sikalang sudah ini macam jadi, gua pun sudah susah wo. Itu harga ah, sudah manyak naik, tapi olang tak ada ramai beli.”

“Jadi kau nak ‘tolong’ aku la ni?” soalannya tajam.

“Jangan itu macam. Gua bukan mau lu tutup kedai. Tapi sikalang lu susah, gua pun susah. Gua pun kena bela gua punya kedai.”

Dia berfikir sebentar, ke mana arah tujunya selepas ini.

Dari bekerja di kota untuk membiayai pelajarannya, ke membuka kedai di kampung, nampaknya usahanya semua tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.

Apa guna usaha, sekiranya ia hanya membawa kegagalan?

Dia berfikir lagi tentang masa depannya. Semua yang dia harapkan semasa dia berhenti sekolah dulu, semakin lama semakin jauh dari capaiannya.

Kini yang tinggak hanya Pak Tam dan kedai ayamnya yang kecil di simpang lorong kampung.

Dia meminta segelas lagi air dari Che Sah.

“Ok Lim. Aku jual ke kau, berapa kau nak bayar?”

Lim senyum.

+++
“Sebenarnya kerja apa pun susah.”

Entah sudah berapa batang rokok dia hisap.

Pak Cik ni banyak hisap rokok ye?

“Nak halau nyamuk,” dia senyum, “kau tak hisap?”

Tak.

“Bagus. Tak sihat benda ni. Kawan aku mati barah dah ramai. Doktor kata sebab rokok.”

Dia memusing-musing rokok yang baru digulungnya antara jarinya.

“Anak aku pun suruh aku berhenti. Yang doktor tu.”

Yang duduk di Serdang?

“Yang tu. Tapi aku tak mampu nak berhenti. Aku serabut tengok hidup anak-anak aku.”

Kenapa pulak?

“Aku pernah cuba duduk sekali dengan dia, lepas arwah bini aku meninggal. Tapi aku tak tahan tengok cara dia hidup dengan keluarga dia.”

“Dia dengan laki dia siang malam kerja, kalau tidak tak ada duit. Anak pulak terbiar.”

“Aku tinggalkan Kuala Lumpur dulu sebab aku tak nak hidup jadi hamba duit, tapi anak-anak aku nampaknya dah kalah.”

“Aku memang hidup tak mewah, tapi alhamdulillah cukup, rambut pun ada lagi. Menantu aku, kepala pun dah botak.”

“Tak ada yang berubah sejak aku pulang dulu. Negara nampak kaya tapi orang dalamnya tidak boleh berhenti kerja untuk cari belanja hidup.”


Limau Daun Merah pernah diberitahu yang dirinya memang layak menjadi orang yang istimewa, tetapi malangnya dia bukan orang. Untuk ubat kekecewaan itu, beliau menulis blovel Jentayu Di Melbourne.

Advertisements
This entry was written by LDM and published on 06/09/2012 at 13:45. It’s filed under Fiction, ISSUE4, Limau Daun Merah, Writings and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink. Follow any comments here with the RSS feed for this post.

One thought on “Temubual by Limau Daun Merah

  1. Kamarul Anwar on said:

    Cakap jujur, sedih sial baca ni. And even worse, this story is a reflection of reality.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: